suria

Hanya 309 Daripada 149,315 Ikrar Jadi Penderma Organ Yang Menderma

KUCHING: Jumlah pengikrar penderma organ dan tisu di Malaysia meningkat setiap tahun namun hanya segelintir yang menunaikan janji mereka, kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan Organ, Tan Sri Lee Lam Thye.

Katanya, berdasarkan statistik Pusat Sumber Transplan Nasional (PSTN), jumlah pengikrar penderma organ dan tisu di negara ini mencecah 149,315 orang sehingga November tahun ini namun yang menderma sejak 1976 hanyalah 309 orang.

"Bantahan dan salah faham oleh ahli keluarga setelah individu yang berikrar menderma organ meninggal dunia merupakan faktor pemindahan organ dan tisu tidak dapat dijalankan.

"Alasan paling banyak diberikan adalah takut, masalah agama dan tidak mahu jenazah mengalami kesakitan setelah mati," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jerayawara Promosi Pendermaan Organ Zon Sarawak di sini, Khamis.

Lee menasihatkan mereka yang mendaftar sebagai penderma organ supaya memberitahu ahli keluarga tentang hasrat murni mereka terlebih dahulu dan mendidik ahli keluarga untuk turut mendaftar sebagai penderma.

Jumlah pesakit yang memerlukan organ di negara ini amat besar, termasuk 11,000 pesakit yang menunggu untuk mendapatkan buah pinggang dan enam memerlukan jantung dan tiga lagi paru-paru, katanya.

Mengenai penjualan organ manusia di negara ini, Lee berkata pihaknya tidak menerima laporan berhubung perkara itu.

"Kita tidak menggalakkan pendermaan organ manusia yang bermotifkan keuntungan kerana menderma adalah satu perbuatan amal yang sangat murni," katanya.

Seorang pakar organ dan tisu dari PSTN, Dr Muhammed Anis Abdul Wahab berkata, penjualan organ dan tisu tidak berlaku di negara ini kerana bilangan pakar bedah untuk melakukan transplan adalah kecil.

Kini hanya dua hospital kerajaan iaitu Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Selayang serta Institut Jantung Negara yang melakukan transplan.

"Walaupun terdapat beberapa hospital swasta yang boleh menjalankan pemindahan organ tetapi PSTN sentiasa membuat pemantauan dan kita menggalakkan pendermaan organ dan tisu manusia untuk anggota keluarga atau yang terdapat talian persaudaraan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain