suria

K'jaan Yakin Ekonomi Negara Berkembang 7.0 Peratus Tahun Ini - Nor Mohamed

KUALA LUMPUR: Kerajaan yakin ekonomi negara ini akan mencatatkan pertumbuhan sekurang-kurangnya 7.0 peratus tahun ini berikutan pertumbuhan positif yang dicatatkan dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata pertumbuhan ekonomi negara pada tahun ini adalah lebih baik daripada jangkaan awal walau pun wujud ketidakstabilan ekonomi dunia.

"Kita yakin akan dapat mencatatkan angka yang positif pada suku ke-empat tahun ini dan yakin kita akan mencapai pertumbuhan 7.0 peratus pada tahun ini," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian untuk membangunkan kampus UiTM Seremban 3 antara Malaysia Building Society Bhd (MBSB), Bank Pembangunan Malaysia Bhd dan Inovatif Mewah Sdn Bhd di sini, Rabu.

Mengenai prstasi ekonomi 2011, Nor Mohamed berkata ekonomi negara dijangka menghadapi cabaran tahun depan berikutan ketidakstabilan ekonomi di beberapa negara Eropah.

Bagaimana pun, beliau berkata kerajaan telah mengambil beberapa langkah bagi memastikan ekonomi negara terus kukuh pada masa depan.

Selain itu, Nor Mohamed berkata kerajaan akan meneruskan Skim Jejak Jaya Bumiputera (SJJB) pada tahun depan.

Melalui skim itu, katanya kerajaan akan memantau syarikat-syarikat Bumiputera yang berpotensi untuk menjadi sebuah syarikat yang membanggakan negara.

Katanya, lima syarikat milik Bumiputera di bawah skim itu akan disenaraikan di Bursa Malaysia pada suku pertama tahun depan, antaranya MMSC Ventures Sdn Bhd, Simfoni Maya Sdn Bhd dan Selia Group. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain