suria

Umat Islam Perlu Kuasai Media Perbetul Persepsi Islamofobia: Najib

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru umat Islam supaya menguasai media untuk memperbetulkan persepsi terhadap masyarakat dunia bahawa Islam sebenarnya merupakan agama yang betul, indah, menarik dan bukanlah agama yang ditakuti sehingga mencetuskan Islamofobia.

Beliau berkata ini kerana ada puak yang berjaya menggunakan media sebagai alat propaganda untuk memburukkan Islam secara tersusun, terarah dan sistematik.

"Masalah menjadi lebih serius apabila propaganda mereka amat berkesan sehingga orang terpengaruh menjadi fobia apabila mendengar nama Islam, kegagalan ini berpunca kerana kurangnya keupayaan masyarakat Islam menguasai media," katanya ketika melancarkan stesen televisyen Islam pertama negara, TV Al Hijrah di Kompleks Pusat Islam di sini malam ini.

Turut hadir ialah Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengerusi TV Al Hijrah, Tan Sri Dr Yusof Noor.

Najib berkata, pengusaan umat Islam terhadap media pada masa kini adalah di tahap minimum dan usaha yang kurang kreatif menjadikan hasilnya kurang menarik khususnya di kalangan remaja.

"Hari ini umat Islam perlu bertindak untuk memperbetulkan keadaan. Kita harus bertindak untuk memperkenalkan Islam yang betul, cantik dan menarik. Oleh itu kita harus menguasai media untuk merealisasikan impian ini," katanya.

Beliau berkata, masyarakat harus mempromosikan Islam secara bersungguh-sungguh dan memperkenalkan Islam yang betul kepada dunia kerana ia tidak akan bermakna sekiranya gagal mempromosikannya.

"Kita harus memberitahu dunia bahawa Islam telah mendahului kesemua pihak dalam memperjuangkan kesejahteraan dan keamanan sejagat. Islam telah terlebih dahulu mengiktiraf pemilikan harta individu tanpa memilih jantina, rupa bangsa atau agama," katanya.

Najib berkata, masyarakat dunia tidak perlu takut dan bimbang atau fobia terhadap Islam kerana agama itu tidak jahat dan tidak ganas, seperti yang dicatatkan dalam perlembagaan tertinggi Islam iaitu Al-Quran.

"Perkataan Islamofobia tidak pernah wujud di dalam kamus peradaban Islam sebelum ini. Di negara Islam, kesemua pihak boleh hidup bebas, aman, damai dan harmoni tanpa gangguan. Di situ, mereka boleh menikmati keadilan sebenar," katanya.

Mengenai penubuhan TV Al Hijrah yang disifatkannya sebagai tepat pada masanya, Najib berkata ia mampu memupuk nilai-nilai yang murni sebagai teras dan falsafah perjuangannya.

"Insya-Allah TV Al Hijrah akan memain peranan untuk memperkenalkan ajaran Islam sebenar. Saya harap TV Al Hijrah menjadi wahana perpaduan ummah negara dan bagi seluruh umat Islam negara ini terimalah stesen ini sebagai media pendidikan tidak formal untuk mereka.

"Dan bagi masyarakat bukan Islam, stesen ini diharap akan memperkenalkan kepada mereka ajaran Islam yang betul, harmoni yang membawa kepada kesejahteraan," katanya.

TV Al Hijrah yang mula bersiaran pada 1 Nov boleh diikuti di Lembah Klang melalui saluran UHF CH55 frekuensi MHz 743.25, Terengganu UHF CH41 (631.25 MHz), Johor UHF CH40 (623.25 MHz), Sarawak UHF CH37 (599.25 MHz) dan Sabah UHF CH37 (599.25 MHz). Walaupun baru mula bersiaran, 60 peratus daripada kandungannya adalah terbitan tempatan manakala 40 peratus adalah kandungan asing. Tiga puluh peratus daripada keseluruhan kandungannya diterbitkan sendiri oleh TV Alhijrah.

Dengan slogan "Segalanya Bermula Di Sini", TV Al Hijrah merupakan stesen televisyen milik kerajaan dan kini diletak di bawah tanggungjawab Jamil Khir. - BERNAMA

Artikel Lain