suria

K'jan S'gor Tawar Diskaun Perbaharui Pajakan Tanah

SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor akan memberikan diskaun kepada pemilik tanah berstatus pajakan yang ingin memperbaharui tempoh pegangan pajakan sedia ada, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Bagaimanapun, kerajaan negeri belum memutuskan jumlah diskaun itu, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis penyerahan lapan buah komputer oleh syarikat pengeluar cip komputer terkemuka dunia, AMD Global Services kepada empat rumah anak yatim di Selangor di sini, Jumaat.

Mengenai rungutan pemilik tanah di Petaling Jaya bahawa kos melanjutkan tempoh pajakan adalah tinggi, Abdul Khalid berkata nilai pajakan tanah dikira berdasarkan nilai pasaran hartanah semasa.

Diminta mengulas pengumuman Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dua hari lepas bahawa semua kerajaan negeri kini boleh memperbaharui tempoh pegangan baru tidak melebihi 99 tahun, beliau berkata kerajaan Selangor sudah melaksanakan dasar itu.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan negeri kini menggalakkan pemilik tanah pajakan supaya memperbaharuinya lebih awal dan tidak perlu menunggu sehingga baki pegangan pajakan mereka hanya tinggal 10 atau 15 tahun sahaja.

Katanya, sekarang mereka boleh memperbaharui tempoh pajakan tanah mereka apabila baki pegangan pajakan mereka tinggal 30 tahun.

Kerajaan negeri akan melanjutkan semula pajakan tanah mereka sebanyak 69 tahun lagi bagi mencukupkan tempoh maksimum pajakan yang dibenarkan iaitu 99 tahun, katanya.

Kebanyakan pemilik tanah di Petaling Jaya mempunyai baki pajakan tanah mereka selama 30 tahun lagi dan kerajaan menggalakkan mereka supaya memperbaharuinya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain