suria

Polis Tahan Empat Lelaki Curi Komponen Cip Elektronik

IPOH: Polis menahan empat lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes kecurian komponen pembuat cip elektronik yang diimport dari Taiwan dan Amerika Syarikat bernilai RM2.7 juta yang dilaporkan hilang pada 12 Ogos lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Zulkifli Abdullah berkata keempat-empat lelaki berusia antara 30 hingga 36 tahun itu ditahan pada Ahad dan Isnin lepas di sekitar bandar raya ini hasil maklumat daripada orang awam.

Susulan tangkapan ke atas keempat-empat lelaki berkenaan, polis kemudian menemui semua komponen berkenaan dari sebuah kilang di kawasan Perindustrian Ringan, Silibin, di sini dipercayai disembuyikan, katanya pada sidang akhbarnya selepas majlis perbarisan sempena pertukaran Ketua Polis Perak, di sini, Jumaat.

Zulkifli akan bertukar ke Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur pada 1 Dis ini dan tempatnya akan dipangku oleh Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Datuk Zakaria Yusof.

Kehilangan komponen itu dilaporkan oleh sebuah syarikat pengangkutan di sini ketika komponen yang dibawa dengan sebuah treler dalam perjalanan dari Gudang Kargo KLIA di Sepang ke Ipoh, katanya.

Siasatan mendapati seorang lelaki, yang juga pemandu treler berkenaan, telah menggunakan salinan kad pengenalan palsu semasa memohon kerja dan bertanggungjawab membawa komponen itu ke sini.

Zulkifli berkata seorang daripada empat lelaki itu mempunyai kes melibatkan kesalahan mencuri, menipu, pecah amanah, samun dan kesalahan mengikut Akta Senjata api (Hukuman Berat) yang dilaporkan di negeri ini, Selangor, dan Kuala Lumpur.

Mereka ditahan reman sejak ditahan sehingga Sabtu, katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 407 Kanun Keseksaan (pecah amanah oleh pembawa barang) yang boleh membawa hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda sekiranya disabitkan kesalahan.

Dalam perkembangan lain, polis menahan seorang lagi suspek yang dipercayai dapat membantu kes pembunuhan seorang peguam di sini.

Suspek berusia 35 tahun itu ditahan semalam di sebuah rumah di sini dan setakat ini tujuh suspek ditahan, katanya.

Zulkifli berkata suspek itu direman bermula Jumaat untuk siasatan lanjut.

Pada 16 November lalu, peguam G. Balasunderam, 57, diserang dua lelaki bertopeng ketika turun dari kereta di hadapan rumahnya dai Taman Desa Rishah, Buntung di sini dan meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun pada pukul 9 malam hari yang sama.

Susulan kes pembunuhan itu polis memberkas enam lelaki berusia 21 hingga 30 tahun pada Isnin lepas di sebuah hotel di Menglembu.

Katanya dengan penangkapan tujuh lelaki itu polis percaya dapat menyelesaikan kes itu dalam waktu terdekat ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain