suria

Pembunuhan Banting: Tertuduh Fail Notis Dakwa Dipaksa Buat Pengakuan

SHAH ALAM: Seorang pekerja ladang yang dihukum tujuh tahun kerana melupuskan bahan bukti pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lagi memfailkan notis usul bagi mengemukakan bukti baru berhubung dakwaan berlaku paksaan untuk salah atas pertuduhan tersebut.

K. Sarawanan, 19, turut mendakwa dipukul, disepak pada bahagian kemaluan dan diugut yang menyebabkannya berbohong mengaku telah melakukan kesalahan tersebut.

Sehubungan itu, dia memfailkan notis usul terbabit menerusi peguam A.S. Dhaliwal untuk memohon supaya Mahkamah Tinggi di sini, memanggil dan memeriksa rekod prosiding yang berlaku di Mahkamah Majisret Telok Datok, Banting, dekat sini bagi tujuan memastikan kebenaran, keesahan dan ketepatan prosiding terbabit.

Dia juga memohon supaya mahkamah meminda dan membetulkan fakta-fakta yang telah dikemukakan sebelum ini kerana fakta-fakta yang tidak benar telah menyebabkan dia menjadi pihak yang terkilan dan tidak mendapat keadilan.

Dhaliwal pula memberitahu, notis usul tersebut difailkan pada Rabu, dan sehubungan itu, Hakim Datuk Wira Mohtarudin menangguhkan prosiding semakan kehakiman dan rayuan Sarawanan kepada 10 Januari depan bagi memberi masa kepada pihak pendakwaan membalas afidavit yang difailkan oleh Sarawanan.

Berdasarkan afidavit sokongan yang diikrarkan oleh Sarawanan, dia turut mendakwa diberi akujanji bahawa akan dibebaskan jika memilih seorang peguam dari Tetuan Sulie & Co dan dipaksa untuk menandatangani borang yang tidak diketahui isinya.

Dia juga mendakwa hanya diarahkan untuk menggangukkan kepala semasa dibawa ke mahkamah majistret dan panik apabila hukuman dijatuhkan.

Pada prosiding sama, peguam Amer Hamzah Arshad yang bertindak sebagai peguam pemerhati bagi tertuduh utama pembunuhan itu, N. Pathmanaban, turut memberitahu, pihaknya telah memfailkan empat notis usul untuk mendapatkan kebenaran bagi mencelah dan berhujah dalam pendengaran semakan dan rayuan oleh Sarawanan.

Permohonan untuk mencelah dibuat atas alasan pertuduhan terhadap Sarawanan dan seorang lagi pekerja ladang, U. Suresh jelas menyentuh dan mengaitkan diri yang akan memprejudiskan diri Pathamanaban, 41, dan empat lagi yang didakwa atas tuduhan membunuh. Mereka yang didakwa membunuh ialah, T. Thilaiyagan, 19, R.Matan, 20, dan R.Kathavarayan, 30.

Pada 15 Oktober lalu, Sarawanan dan Suresh, 26, mengaku bersalah atas tuduhan melupuskan bahan bukti pembunuhan Sosilawati dan tiga lagi yang lain, iaitu pengawai bank CIMB cawangan Kampung Baru Noorhisham Mohamad, peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Rahim dan pemandu Kamaruddin Shamsuddin.

Semua mangsa dilaporkan hilang selepas menuju ke Banting untuk satu urusniaga pembelian tanah sebelum disahkan telah dibunuh.

Sarawanan mengaku salah atas tuduhan membakar mayat semua mangsa manakala Suresh bagi tuduhan membuang abu mayat ke dalam Sungai Panchau.

Pada prosiding Khamis, Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff memohon supaya diberikan masa untuk menjawab semua afidavit tersebut yang baru diterima.

Mohtarudin seolah-olah keberatan untuk membenarkan penangguhan yang merupakan kali ketiga dalam prosiding semakan.

“Isu ini adalah isu yang mudah, tidak perlu lama-lama sangat kecuali jika timbul beberapa masalah esok yang memerlukan penyelidikan lanjut.

“Jika ditangguhkan ia akan melibatkan kes-kes lain yang telah dijadualkan. Ini akan melibatkan ramai orang lain,” katanya.

Beliau juga bimbang akan berlaku penangguhan yang lebih panjang apabila pihak pembelaan dan peguam pemerhati mahu membalas jawapan oleh pihak pendakwaan.

Mohtarudin juga menetapkan supaya permohonan untuk mencelah didengar terlebih dahulu sebelum permohonan oleh Sarawanan.

“Saya percaya semua pihak yang terlibat adalah yang senior. Pada tarikh itu, semua afidavit hendaklah diselesaikan,” tambahnya.

Artikel Lain