KPDNKK Kedah Perlu Kerjasama Orang Ramai Banteras Penyeludupan Minyak - Semasa | mStar

KPDNKK Kedah Perlu Kerjasama Orang Ramai Banteras Penyeludupan Minyak

ALOR SETAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah memerlukan kerjasama orang awam selain agensi-agensi keselamatan lain bagi membanteras penyeludupan bahan api di negeri ini.

Pengarah KPDNKK Kedah Mohd Sakri Salleh berkata ini kerana kes penyeludupan itu sukar dikawal di negeri ini dan ini memberi peluang kepada individu tertentu mengaut keuntungan hasil daripada aktiviti ini.

"Justeru KPDNKK mahu orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan ini tampil memberi maklumat bagi membolehkan pihak kami membuat tangkapan ke atas mereka yang melakukan jenayah itu.

"Kita juga akan bekerjasama dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi membanteras aktiviti penyeludupan minyak melalui jalan laut," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Seminar Taklimat Pengenalan Akta Persaingan 2010 di sini Khamis.

Mengenai kes penyeludupan minyak diesel bersubsidi, Sakri berkata setakat ini ada dua kes yang melibatkan nelayan dan pihaknya masih menyiasat kes ini.

Lebih 100 peserta menghadiri seminar itu bagi mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Akta Persaingan sebelum dikuatkuasakan pada 2012 yang disampaikan oleh Ketua Unit Interim Suruhanjaya Persaingan KPDNKK Shila Dorai Raj.

Akta ini digubal bertujuan mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih kompetitif setanding dengan negara-negara maju. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Konvensyen BN Ditunda Ke 4, 5 Disember

Artikel Berikut

Malaysia Sedia Jadi Hab Dunia O&G, Kata Najib

Artikel Berkaitan

Artikel Lain