suria

Kematian Seorang Tahanan Lokap Tiada Kaitan Kejadian Dalam Tahanan

KLUANG: Kematian seorang tahanan lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi di Hospital Sultan Ismail, Johor Baru, S. Kalaisilvam, Isnin lepas disebabkan jangkitan pada paru-paru dan tiada kaitan dengan sebarang kejadian ketika dalam tahanan dan siasatan polis.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, bedah siasat yang dijalankan oleh doktor jelas menunjukkan kematian Kalaisilvam disebabkan penyakit selain mangsa itu juga pernah mengadu mengalami sakit dada sebelum dia meninggal dunia.

"Semasa ditahan, mangsa ada memaklumkan mengalami sakit dada dan dihantar ke hospital sebanyak lima kali. Dia mendapat perhatian daripada polis. Jadi, apa yang kita lihat, kematian yang berlaku itu tidak ada kena mengena dengan tahanan dan siasatan polis," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Keluarga Sakinah Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Hussin Ismail dan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff.

Kalaisilvam, 20, ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam satu pergaduhan menggunakan senjata di Kota Tinggi, Johor pada 31 Ogos lalu yang mengakibatkan satu kematian.

Mengenai program Keluarga Sakinah dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Johor, Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim dan Institut Integriti Malaysia itu, Abu Seman berkata ia merupakan inisiatif PDRM dalam memantapkan institusi kekeluargaan selaras dengan matlamat kerajaan yang mementingkan pengukuran dan pemantapan institusi keluarga.

Beliau berkata institusi kekeluargaan dalam PDRM yang sekiranya sentiasa bergolak akan menyaksikan kejadian yang tidak diingini berlaku termasuk pergaduhan yang membawa ke arah perceraian.

"Secara tidak langsung produktiviti dan komitmen terhadap tugas akan berkurangan kerana tumpuan akan lebih menjurus ke arah penyelesaian rumah tangga.

Jadi, saya merasakan program ini sesuai dipraktikkan dengan bermula daripada modul persediaan ke ibu bapaan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain