suria

Jualan Murah Hujung Tahun Malaysia Sasar RM16 Bilion

KUALA LUMPUR: Karnival Jualan Murah Hujung Tahun, Malaysian Year-End Sales 2010 (M-YES), berharap dapat meningkatkan jualan berjumlah RM16 bilion berikutan pemansuhan duti import ke atas 300 produk berkaitan pelancongan, kata Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.

Beliau berkata penghapusan duti import bagi busana anggun, aksesori fesyen, barang-barang kemas, dan produk kosmetik akan dapat menarik pembeli tempatan dan asing ke karnival itu.

Pemansuhan duti import itu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2011 di Parlimen pada September.

Ng berkata, negara mahu menggalakkan pelabur melabur dalam sektor beli belah dan menjadikan Malaysia sebuah destinasi beli belah utama di dunia.

"Dengan berbuat demikian kita dapat menarik pelancongan itu berbelanja lebih besar dan tinggal lebih lama di Malaysia," katanya pada pelancaran rasmi pusat beli belah Fahrenheit 88, di sini pada Selasa.

Beliau berkata kementeriannya memperuntukkan RM20 juta setiap tahun bagi mempromosi aktiviti beli belah.

"Ini termasuk pengiklanan, promosi, dan pelancaran produk pelancongan Malaysia di seluruh dunia," kata beliau.

"Beli belah meraih bahagian kedua terbesar dari perbelanjaan pelancong selepas akomodasi dengan sumbangannya sebanyak RM15.1 bilion pada 2009 berbanding RM13.3 bilion pada 2008, peningkatan 13.7 peratus.

"Ia mewakili kira-kira 28.3 peratus dari jumlah perbelanjaan pelancong pada 2009 berbanding 26.8 peratus pada 2008," katanya, dan menambah kementeriannya mensasarkan angka itu meningkat ke 35 peratus menjelang 2020. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain