suria

Kes Perebutan Hak Penjagaan Anak Diselesaikan Menerusi Timbangtara

PUTRAJAYA: Ibu bapa seorang budak perempuan berumur 11 tahun yang berebut untuk menjaga anaknya itu, bersetuju untuk sesi timbangtara dalam percubaan bagi menyelesaikan pertikaian mereka.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Datuk Wira Low Hop Bing menetapkan 3 Dis untuk Low Swee Siong, bekas isterinya, seorang pengurus restoran di London Tan Siew Siew dan anak perempuan mereka Bi-Anne akan hadir di mahkamah untuk timbangtara di hadapan seorang hakim.

Kedua-dua pihak yang masing-masing diwakili oleh peguam Sulaiman Abdullah dan Ravi Nekoo untuk Swee Siong dan K.Bowanes bagi Siew Siew, menerima cadangan Hakim Low itu untuk cuba menyelesaikan pertikaiannya menerusi timbangtara bagi kepentingan Bi-Anne.

Kes itu mendapat perhatian media apabila tiga panel hakim Mahkamah Rayuan pada 13 Ogos bergilir-gilir untuk mendesak Bi-Anne tinggal dengan ibunya di London.

Sebaliknya, budak perempuan itu enggan dan mendesak untuk tinggal dengan ayahnya. Low, Yang bersidang dengan Hakim-hakim Datuk Wira Abu Samah Nordin dan Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus memberitahu pihak berkenaan bahawa beliau seorang sahaja hakim yang akan bersidang pada sesi timbangtara tersebut.

Low berkata jika pihak terbabit tidak dapat menyelesaikan pertikaian mereka, barulah rayuan mengenai perkara tersebut akan didengar oleh Mahkamah Rayuan dan beliau tidak akan bersidang dalam panel berkenaan untuk mendengar rayuan itu.

"Saya masih perlu mendengar budak itu (Bi-Anne). Dia akan menjadi bintang untuk hari itu dan dia jangan ditinggalkan tanpa didengar," kata Low.

Perunding hartanah berusia 40 tahun itu, Swee Siong telah memfailkan enam rayuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Keluarga yang tidak berpihak kepada beliau.

Keputusan itu termasuk membenarkan ibu budak perempuan itu yang berumur 37 tahun untuk membawa Bi-Anne ke Britain; memerintahkan agar pasport budak perempuan itu diserahkan; menolak akses sementara Swee Siong terhadap budak itu, mendapati dan menyabitkan kesalahan Swee Siong kerana menghina mahkamah dan enggan penggantungan perintah.

Pasangan itu berkahwin pada 1999 dan bercerai pada 2006 dan hak penjagaan Bi-Anne diberikan kepada ayahnya tetapi dua tahun kemudian, Siew Siew memohon dan menang penjagaan dan Swee Siong diberikan akses yang munasabah.

Bagaimanapun, perintah itu tidak boleh dilaksanakan kerana Bi-Anne tidak mahu tinggal dengan ibunya.

Pada 13 Sept, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendenda Swee Siong RM20,000 kerana menghina mahkamah disebabkan tidak patuh dengan perintah mahkamah agar beliau menyerahkan Bi-Anne kepada bekas isterinya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain