suria

HDC: 11 1MDS Akan Diwujudkan Di Iran Dalam Tempoh Lima Tahun

KUALA LUMPUR: Sejumlah 11 Gedung Beli-belah 1Malaysia (1MDS) akan diwujudkan di Iran dalam tempoh lima tahun ini bagi membantu syarikat-syarikat Malaysia menembusi pasaran negara berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) Datuk Seri Jamil Bidin berkata penubuhan gedung-gedung beli-belah itu diibaratkan sesuatu yang amat penting, untuk pemasaran perkhidmatan dan barangan halal Malaysia ke Iran yang dijangka mencecah US$1.85 bilion dalam tempoh lima tahun ini.

"Idea ini bukan hanya untuk mempromosikan jenama di Iran. Ia juga akan menjadi laluan untuk kita memasuki pasaran Asia Barat," kata beliau dalam taklimat media di sini, Jumaat.

1MDS yang pertama akan dibuka di Mega Mall Tehran pada bulan Julai 2011, dengan dua lagi cawangan akan ditubuhkan setiap tahun dalam tempoh lima tahun.

Neguin Group of Companies yang beribupejabat di Malaysia, pemilik Mega Mall Tehran akan membentuk infrastruktur dan menguruskan gedung beli-belah itu, kata Jamil.

"Neguin akan menjadi ejen pembeli untuk syarikat-syarikat Malaysia. Dengan adanya Neguin sebagai ejen, adalah lebih mudah untuk usahawan tempatan mempromosikan jenama mereka di Iran tanpa perlu ke sana," jelas beliau.

Menurut Jamil, gedung beli-belah itu akan mengetengahkan jenama makanan dan minuman halal, kosmetik, pakaian dan produk pengguna yang popular di kalangan pengguna.

Menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai 1MDS, pengarah eksekutif Neguin Group, Dr Abdul Rahmad Bidin berkata ruang seluas 40,000 kaki persegi dalam lingkungan Mega Mall Tehran akan diketepikan untuk tujuan itu.

"Ruang itu akan diperuntukkan untuk PKS dan peruncit yang berminat untuk mempromosikan jenama mereka di sini.

"Kami telahpun mengadakan perbincangan dengan beberapa PKS dan peruncit sementara dua daripada jenama besar di Malaysia telah mengesahkan untuk menyertai 1MDS," jelas beliau.

Beliau turut mensasar membawa sekurang-kurangnya 20-30 peruncit dari Malaysia ke negara itu.

Pada masa ini, terdapat lebih daripada 300 peruncit di Malaysia seperti Bonia, Secret Recipe dan Mary Brown.

Sementara itu, Jamil berkata satu persidangan akan diadakan mulai 24-25 November di sini bertujuan menawarkan peluang kepada PKS Malaysia dan menyediakan maklumat mengenai potensi pasaran Iran dan Asia Barat.

Ia akan dihadiri oleh 20 peruncit dan pembeli terkemuka Iran. Mereka juga dijangka "bertemu dan memadankan" produk dan perkhidmatan untuk pasaran Iran.

"Unjuran eksport dagangan bernilai RM35 juta dijangka diraih pada akhir misi belian. Sasaran nilai eksport jualan RM15 jua untuk Neguin turut dijangkakan pada pameran itu," kata Jamil.

Seminar itu yang dianjurkan oleh HDC terbuka kepada 350 syarikat yang berminat mengembangkan operasi di pasaran Iran. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain