suria

Pengedar Dadah Ditembak, Cuba Langgar Polis

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki disyaki pengedar dadah parah selepas ditembak ketika cuba melanggar polis bagi melarikan diri dalam satu kejadian di Jalan Chiak, Kepong Baru, di sini, pada Selasa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul Supt Zainuddin Ahmad berkata dalam kejadian pukul 6.30 petang itu, polis menerima maklumat wujudnya aktiviti pengedaran dadah di sebuah padang di kawasan terbabit.

"Seorang pegawai dan lima anggota kemudian ditugaskan bagi membuat intipan di kawasan itu sebelum dua kereta, masing-masing sebuah Honda berwarna biru dan sebuah Nissan Fairlady muncul."

"Intipan kami mendapati wujudnya penyerahan barang disyaki dadah dan selepas anggota kami memperkenalkan diri, kedua-dua pemandu kereta itu cuba melarikan diri, bagaimanapun kereta Honda telah cuba melanggar dan merempuh anggota kami,"katanya kepada Bernama menerusi sistem pesanan ringkas (SMS).

Zainuddin berkata polis kemudian telah melepaskan tembakan mengenai bahu, dada dan rusuk suspek yang memandu kereta Honda itu manakala pemandu kereta Nissan itu melarikan diri.

Beliau berkata ekoran tembakan itu, kereta suspek telah terbabas lalu melanggar tembok sebuah rumah dan suspek kemudian dibawa ke Hospital Selayang bagi menerima rawatan.

Siasatan lanjut mendapati, suspek berusia 32 tahun itu mempunyai rekod di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata, katanya.

Menurutnya selepas pemeriksaan lanjut ke atas kereta itu, polis menemui 45 biji pil ecstasy dan polis tidak menolak kemungkinan suspek aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah di sekitar kawasan itu.

Katanya polis akan memohon tempoh reman selepas keadaan suspek kembali stabil bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Kembali Adakan Sidang Media

Artikel Berikut

Artikel Lain