suria

Remaja Mati Ditembak Mangsa Ketika Merompak

PETALING JAYA: Seorang remaja bersenjatakan parang mati ditembak oleh seorang bekas mandur estet dalam satu cubaan merompak di Sungai Way di sini pagi Selasa.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor ACP Khaw Kok Chin berkata, remaja berusia 17 tahun itu sebelum itu telah mengugut pambantu rumah mandur itu supaya menyerahkan wang.

Ketika itu bekas mandur berkenaan ternampaknya lalu mengambil senapang patah kepunyaannya dan melepaskan dua tembakan terhadap remaja berkenaan semasa perompak itu cuba menyerangnya, katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Menurutnya dalam kejadian kira-kira pukul 9.40 pagi itu, terdapat tiga anggota keluarga bekas mandur yang berada di rumah.

Khaw berkata, remaja itu dipercayai datang bersama empat rakannya berumur antara 17 dan 20an untuk melakukan jenayah itu.

Tiga daripada mereka menunggu dalam sebuah kereta mewah manakala seorang lagi menunggu di luar rumah ketika remaja itu memasuki rumah.

"Remaja itu terkena satu das tembakan di tulang rusuk manakala rakan-rakannya sempat melarikan diri," kata Khaw.

Polis sedang mengesan kesemua mereka.

Seorang jiran bekas mandur itu ketika ditemui Bernama berkata ketika kejadian beliau sedang tidur dan terjaga selepas mendengar bunyi tembakan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain