suria

Tabib Warga Singapura Mati Ditetak

KAJANG: Seorang tabib rakyat Singapura mati selepas tiga hari koma akibat ditetak dengan sebilah parang di kepala dalam kejadian samun di rumahnya di Kampung Baru, Sungai Chua dekat sini, Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Sakaruddin Che Mood berkata, mangsa yang dikenali sebagai Leong Sin Yu, 60, sebelum itu dirawat di Hospital Serdang selepas mengalami pendarahan teruk di kepala.

"Mangsa dihantar ke hospital sejurus selepas kejadian itu dan pada Sabtu lepas dia disahkan meninggal dunia setelah tiga hari berada dalam keadaan koma," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata dalam kejadian itu, Leong yang tinggal berseorangan didatangi seorang lelaki yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 pada pukul 9.30 malam.

Suspek yang berusia awal 30-an dipercayai memecah masuk dengan mengumpil pintu hadapan rumah mangsa.

"Polis tidak menolak berlakunya pergelutan apabila mangsa menyedari kehadiran suspek yang menyebabkan mangsa akhirnya ditetak beberapa kali di kepala.

"Tiada senjata ditemui dan pemeriksaan juga mendapati keadaan rumah mangsa berselerak namun kita tidak dapat pastikan jenis barangan yang telah dilarikan dari rumah berkenaan," katanya.

Sakaruddin berkata, suspek sempat melarikan diri dan meninggalkan motosikalnya yang mempunyai nombor pendaftaran NAA 1742 di perkarangan rumah mangsa.

"Kami sedang berusaha menjejaki suspek. Kes itu yang sebelum ini disiasat di bawah Seksyen 394 iaitu samun bersenjata telah diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Sementara itu, Sakaruddin menafikan pihaknya gagal menjalankan tugas dalam mengawal keselamatan dan ketenteraman penduduk di Taman Murni, Batu 9, Cheras seperti yang dilaporkan oleh sebuah ahkbar berbahasa Cina, Khamis lepas.

Beliau berkata, kenyataan itu tidak benar sama sekali kerana dalam tempoh 10 bulan hanya tujuh kes jenayah kecil yang dilapor berlaku di kawasan itu iaitu samun berkawan tanpa senjata, curi motosikal, kereta dan kenderaan pacuan empat roda serta pecah rumah dan curi dalam bangunan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain