suria

Projek Langat 2 Tidak Akan Dilaksanakan Buat Masa Ini - Mb Selangor

SHAH ALAM: Projek Loji Rawatan Air Sungai Langat 2 (Langat 2) tidak akan dilaksanakan buat masa ini.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pelaksanaan projek itu tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa kerana ia melibatkan kos yang tinggi.

Jika tiada penstrukturan semula industri bekalan air di Selangor dan pembinaan loji rawatan air itu diteruskan, rakyat akan menanggung beban dari segi kos, katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Isa Abu Kassim (BN-Batang Kali) mengenai andaian bahawa Selangor bakal berdepan dengan krisis bekalan air pada 2008 yang disifatkannya kurang tepat.

Abdul Khalid berkata walaupun sehingga kini iaitu 2010, masalah itu tidak berlaku di negeri ini, kerajaan negeri perlu membuat persiapan bagi menangani masalah bekalan air di Selangor pada masa depan.

"Kerajaan negeri harus mencari sumber air yang lebih murah dan cekap untuk mengatasi masalah bekalan air di Selangor.

"Untuk itu, projek pembersihan Sungai Klang dilihat sebagai alternatif yang lebih cekap dan murah daripada mengimport air mentah dari Pahang," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain