suria

Pengeluar Barangan Tempatan Diminta Sentiasa Tingkatkan Kualiti Produk

KUANTAN: Pengeluar barangan tempatan diminta supaya sentiasa meningkatkan kualiti produk mereka bagi menanamkan keyakinan kepada pengguna untuk menggunakan barangan buatan tempatan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pengguna hari ini kebanyakannya memilih produk luar negara kerana percaya kualiti produknya lebih tinggi berbanding produk dalam negara.

"Peranan usahawan adalah penting untuk meyakinkan pengguna supaya memilih produk buatan mereka dengan menjaga dan meningkatkan kualiti barangan dari masa ke semasa, bukan sekadar mengharapkan kempen membeli barangan tempatan dari kerajaan semata-mata," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Beli Barangan Malaysia dan Peluang Perniagaan Francais Zon Timur 2010 di pusat membeli-belah East Coast Mall di sini, Ahad.

Ismail Sabri berkata usahawan tempatan juga perlu sentiasa menjalankan penyelidikan dan pembangunan bagi menghasilkan produk yang unik dari aspek kualiti, inovasi dan nilai estetik.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata sehingga bulan lepas sebanyak 323 syarikat tempatan didaftarkan sebagai francaisor dengan 60 syarikat sebagai pemegang francais induk manakala 90 syarikat pula merupakan francaisi kepada francaisor asing.

"Sehingga kini sebanyak 29 syarikat francais tempatan berjaya mengembangkan perniagaan ke 49 negara seperti di Indonesia, India, Arab Saudi, Singapura, Brunei dan China," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain