suria

Ibu Dan Anak Maut Dalam Kebakaran

JOHOR BAHARU: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dan ibunya mati dalam kebakaran yang memusnahkan rumah mereka di Kampung Parit Lapis Seri Paya Darat, Ayer Hitam, Batu Pahat awal Ahad.

Mayat Lenny Mariyana Daud, 29, dan anaknya Nor Sabihah Qasreena Mohd Nizam ditemui dalam keadaan berpelukan di atas katil dalam bilik mereka.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ibrahim Mohd Aris berkata kedua-dua beranak itu dipercayai terperangkap dalam kebakaran yang berlaku pada pukul 1 pagi itu.

Siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas pendawaian letrik dalam bilik tidur mangsa, katanya dalam kenyataan di sini Ahad.

Ibu kepada Lenny Mariyana yang enggan namanya disiarkan berkata beliau terbangun apabila terdengar anaknya menjerit meminta tolong.

"Malangnya, saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana api telah marak di bahagian dinding bilik tidur mereka," katanya.

Beliau berkata ketika kejadian terdapat tujuh anggota keluarga yang lain di dalam rumah itu dan kesemua mereka berjaya menyelamatkan diri.

Mayat kedua-dua beranak itu dihantar ke Hospital Batu Pahat untuk bedah siasat. - BERNAMA

Artikel Lain