suria

ATM Tubuh Pasukan Khas Bantu Mangsa Banjir Di Kedah, Perlis

BAGAN DATOH: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menubuhkan sebuah pasukan khas bagi membantu mangsa banjir di Kedah dan Perlis, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata pembentukan pasukan khas bersama-sama Polis Diraja Malaysia itu adalah tanggungjawab sosial bagi membantu mangsa yang terjejas teruk akibat banjir di kedua-dua negeri berkenaan.

"Kor Jurutera ATM telah dikerah untuk menjalankan kerja baik pulih kemudahan awam yang rosak akibat banjir di kedua-dua negeri itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Koperasi Wanita Waja Bagan Datoh Berhad di sini, Sabtu.

Beliau berkata setakat ini 200 anggota Rejimen Askar Wataniah telah bergerak membantu mangsa banjir di Kedah dan Perlis.

ATM turut membentuk sebuah lagi pasukan khas sebagai persediaan membantu mangsa banjir sekiranya bencana itu berlaku di Pahang dan Johor, katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata ATM sedia membantu mangsa yang terjejas akibat letusan Gunung Merapi di Yogyakarta, Indonesia sekiranya mendapat permintaan daripada pemerintah negara berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, beliau akan Yogyakarta bersama-sama pertubuhan bukan kerajaan apabila mendapat kebenaran daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain