suria

Najib Tangguh Majlis Makan Malam Istimewa Dengan Rakan-Rakan Online

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menangguhkan majlis makan malam istimewa yang dirancang bersama rakan-rakan online beliau Jumaat ini, sehingga diberitahu kelak.

"Disebabkan terkena jangkitan cacar air, doktor saya telah menasihati saya supaya menjauhkan diri daripada orang ramai dan daripada menghadiri majlis-majlis rasmi sehingga saya benar-benar sembuh," katanya dalam blognya www.1malaysia.com.my.

"Saya memohon berbanyak-banyak maaf sekiranya pembatalan yang tidak disengajakan ini telah menyusahkan anda semua, saya sememangnya tidak sabar-sabar menunggu untuk bertemu dengan rakan-rakan dalam talian saya sekali lagi.

Katanya sebaik sahaja tarikh baru diperoleh, semua yang telah diundang dan telah pun berdaftar untuk menghadiri makan malam pada Jumaat ini akan diberi keutamaan untuk pemilihan nanti.

Najib berkata disebabkan ramai daripada mereka yang telah mengesahkan kehadiran juga telah menghantar banyak soalan yang pada asalnya dikhususkan bagi sesi soal jawab di majlis makan malam tersebut, beliau akan cuba melakukan yang terbaik untuk menjawabnya dalam blog beliau tidak lama lagi.

Ini merupakan kali kedua majlis itu ditangguhkan. Pada awalnya ia dirancang pada 4 November tetapi telah ditangguhkan kepada 5 November disebabkan keadaan yang tidak dapat dielakkan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain