suria

Pekedai Runcit Didenda RM64,000 Angkut Rokok Seludup

DUNGUN: Seorang peniaga kedai runcit pada Khamis didenda RM64,000 oleh Mahkamah Majistret di sini setelah didapati bersalah mengangkut rokok seludup dua tahun lepas.

Yusof Tahir, 54, berdepan hukuman penjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Majistret Aznika Mohd Anas menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati tertuduh bersalah mengangkut 360 karton rokok bernilai RM6,400 menggunakan kenderaan di Felda Kerteh 1, di sini pada 9.45 malam 16 Jan 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda sehingga 20 kali ganda nilai barangan, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Aznika turut memerintahkan kenderaan yang digunakan untuk mengangkut rokok seludup itu dilucut hak kepada pihak kastam.

Yusof, yang diwakili peguam Ghazali Ismail, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan. Pendakwaan dijalankan oleh Koh Joo Kai daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain