suria

Diskaun 20 Peratus Bagi Pengguna Lebuh Raya Di Luar Waktu Puncak Sempena Deepavali

KUALA LUMPUR: PLUS Expressways Berhad (PLUS) akan memberi diskaun hingga hampir 20 peratus kadar tolnya dari pukul 12 tengah malam hingga 7 pagi pada 1 hingga 3 Nov, dan 8 hingga 10 Nov ini bersempena dengan sambutan Deepavali.

Pengarah Urusannya Datuk Noorizah Abd Hamid berkata diskaun tersebut adalah tambahan kepada diskaun 10 peratus yang sedia ada, yang dinikmati pengguna kenderaan kelas satu di lebuh raya PLUS dan ELITE di luar waktu puncak setiap hari.

"Pengguna kenderaan ringan boleh menikmati diskaun tersebut apabila keluar atau membayar tol di PLUS, ELITE dan Linkedua, kecuali di Plaza Tol Bukit Kayu Hitam, Bangunan Sultan Iskandar, Johor Baharu Causeway, Plaza Tol Tanjung Kupang dan lebuh raya Butterworth-Kulim," katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Khamis.

Beliau berkata diskaun itu merupakan sebahagian daripada Program Insentif Perjalanan (PTI) PLUS sebagai imbuhan kepada pengguna yang menggunakan lebuh raya di luar waktu puncak.

"Di samping itu juga, program ini memberi peluang kepada mereka membuat pilihan dan menikmati nilai tambahan dengan bayaran tol yang lebih rendah pada hari dan waktu yang ditetapkan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain