suria

Penyelaras Acara Dipenjara Lapan Tahun Dengan 10 Sebatan Kerana Miliki Kanabis

SHAH ALAM: Seorang penyelaras acara dihukum penjara lapan tahun dengan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini kerana memiliki dadah jenis kanabis seberat 419.31 gram pada Mei tahun lepas.

Sallehuddin Hamdan, 39, mengaku melakukan kesalahan itu di No 3, Jalan SS/17D, Subang Jaya dekat sini pada 11.45 malam, 9 Mei 2009.

Dia yang menghadapi dua pertuduhan, didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39A (2) akta sama, yang membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup dengan 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan pertama, Sallehuddin dihukum penjara lapan tahun dengan 10 sebatan, manakala bagi pertuduhan kedua, dia diperintah menjalani hukuman penjara selama 10 bulan.

Bagaimanapun, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Asmabi Mohamad mengarahkan Sallehuddin menjalani kedua-dua hukuman secara serentak bermula dari tarikh dia ditangkap, iaitu pada 9 Mei tahun lepas.

Sebelum ini, dia didakwa dan dibicarakan atas pertuduhan mengedar kanabis mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Sallehuddin menukar pengakuannya selepas pendakwaan mengemukakan pertuduhan pilihan iaitu memiliki kanabis, selepas seorang saksi selesai memberi keterangan.

Terdahulu, ketika meminta hukuman ringan, peguam Ghazali Mohd Taib yang mewakili Sallehuddin berkata anak guamnya itu telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Zuraida Wan Nawan pula mahu mahkamah menjatuhkan hukuman berat kerana kesalahan berkaitan dadah semakin berleluasa dan kerap berlaku. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain