suria

Anggota Parlimen Cadang Garis Panduan Untuk Tugas Imam

KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini disaran supaya mengeluarkan satu garis panduan bagi tugas-tugas imam agar ia seimbang dengan nilai elaun yang diberikan.

Anggota Parlimen PAS-Kuala Terengganu Mohd Abdul Wahid Endut yang mengemukakan cadangan itu berkata imam juga perlu mempunyai jangka masa kerja yang ditetapkan agar tugasan mereka lebih berkualiti serta meluas dan tidak disempitkan kepada menjadi imam solat lima waktu semata-mata.

"Saya yakin jika mereka memainkan peranan yang lebih berkualiti, masalah sosial yang melanda masyarakat dewasa ini dapat dikurangkan," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2011 (Bajet 2011) di Dewan Rakyat di sini.

Sementara itu, beliau turut menyentuh mengenai kelemahan yang dihadapi guru-guru Kelas Fardu Ain (KAFA) dalam menghadapi masalah disiplin pelajar di dalam kelas akibat kekurangan latihan.

"Justeru, kita harap kerajaan dapat memberi latihan secukupnya kepada guru-guru ini supaya mereka dapat mengajar dengan lebih berkesan sekaligus dapat memberikan hasil yang baik terhadap pelaksanaan dasar kerajaan," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyuarakan pandangan agar kerajaan membuat perubahan dalam pentadbiran supaya mana-mana pegawai yang berkelayakan dalam sesuatu sektor, berpeluang menjawat jawatan tinggi dalam sektor yang lain. - BERNAMA

Artikel Lain