suria

Kes AminulRasyid: “Ada Lepas Tembakan”

SHAH ALAM: Koperal Jenain Subi yang dibicarakan atas tuduhan menyebabkan kematian seorang pelajar, AminulRasyid Amzah dimaklumkan telah memberitahu seorang anggota polis bahawa dia ada melepaskan tembakan pada hari kejadian.

Pendaftar Keluar Masuk Senjata, Ibu Pejabat Polis Daerah di sini, Lans Koperal Ismail Daud, 54, berkata, Jenain memberitahu perkara itu semasa memulangkan kembali sub-machine gun HK MP5 dan empat pelopak peluru selepas tamat waktu bertugas.

“Saya mengira butir peluru di dalam pelopak dan didapati kurang. Saya bertanya pada Jenain ada atau tidak dia lepaskan tembakan. Jenain beritahu, ada, tetapi dia tidak pasti berapa banyak peluru yang dilepaskan,” katanya.

Ismail yang bertanggungjawab merekodkan pengeluaran senjata, peluru, pelopak dan juga bekas penyimpan (porch) kepada anggota bertugas terdahulu memberitahu, Jenain dibekalkan dengan sub-machine gun HK MP5, 100 butir peluru 9mm dan empat pelopak. Semua butir peluru itu dimasukkan ke dalam empat pelopak menjadikan 25 butir setiap pelopak, yang mana satu pelopak dipasang dalam sub-machine gun manakala bakinya disimpan di dalam porch.

Menurut saksi lagi, Jenain yang bertugas di cawangan kereta peronda, mengambil senjata itu pada pukul 9.59 malam, 25 April lalu, iaitu seminit sebelum jadual tugasnya bermula.

Senjata berkenaan dipulangkan pada pukul 6.42 pagi, keesokan harinya, yang mana tugasan Jenain tamat pada pukul 6 pagi.

“Semasa penyerahan, saya telah mengira jumlah peluru yang diserahkan dan mengeluarkan peluru dalam pelopak. Saya dapati tiga pelopak yang diserahkan cukup 25 butir peluru setiap pelopak, iaitu sama seperti semasa dikeluarkan.

“Satu lagi pelopak yang dipasang dalam sub-machine gun pula, saya keluarkan empat butir peluru yang belum digunakan sahaja. Setelah dikira, saya dapati pelopak kurang 21 butir peluru,” katanya yang disoal Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar.

Ismail kemudiannya membuat penandaan pada senjata tersebut bagi menghalang senjata itu diberikan kepada polis lain, dan disimpan secara berasingan di rak berkunci.

Saksi berkata demikian pada pemeriksaan utama di Mahkamah Sesyen di sini Rabu, sebagai saksi pendakwaan ke-17 dalam perbicaraan terhadap Jenain, 42, yang didakwa menyebabkan kematian AminulRasyid, 15.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, di sini, antara pukul 1.10 dan 2 pagi, 26 April lalu.

Jenain dibicarakan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Keterangan lain menyatakan, jumlah peluru yang dipulangkan oleh Konstable Malkeet Singh yang menggunakan senjata sama dalam kereta peronda lain mendapati ia adalah sama seperti semasa diserahkan.

Sementara itu, saksi pendakwaan ke-16, Inspektor Muhammad Radhi Abdul Hamid, 29, dari Bahagian Persenjataan Teknikal, Ibu Pejabat Kontinjen Selangor mengakui bahawa tembakan boleh tersalah arah dalam beberapa keadaan.

"Kemalangan tembakan boleh berlaku dalam keadaan seperti adegan kejar dalam had laju yang tinggi, senjata yang agak berat dan keadaan jalan yang tidak rata,” katanya semasa disoal peguam Salim Bashir.

Menjawab soalan Mohd Dusuki pula, Muhammad Radhi berkata, ketepatan menembak adalah bergantung kepada kecekapan orang yang menembak.

“Kecekapan menembak penting di mana kebanyakkan latihan yang dijalankan menggunakan sasaran yang tidak bergerak,” katanya yang turut mengakui bahawa kelajuan peluru yang dikeluarkan menerusi sub-machine gun lebih tinggi berbanding pistol.

Perbicaraan di hadapan Hakim Latifah Mohd Tohar bersambung Khamis.

Artikel Lain