suria

Polis Tahan Tiga Lelaki Warga Nigeria, Rampas Ganja 63 Kg

KUALA LUMPUR: Polis menahan tiga lelaki warga Nigeria dan merampas dadah jenis ganja seberat kira-kira 63 kilogram yang dianggar bernilai lebih RM104,000 dalam tiga tangkapan di Cheras dan Seri Kembangan, di sini, Ahad.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Othman Harun berkata mereka yang berumur lingkungan 30-an itu dipercayai anggota sindiket antarabangsa dan bergiat cergas di Lembah Klang sejak beberapa bulan lepas.

"Penahanan mereka juga boleh membantu polis dalam mendapatkan maklumat serta mengesan rangkaian sindiket antarabangsa yang lain berhubung kegiatan penyeludupan dadah di negara ini," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, Isnin.

Mengulas tangkapan itu, Othman berkata tangkapan pertama dibuat di tepi jalan di Taman Connaught, Cheras hasil intipan polis.

"Ketika itu dia sedang membimbit sebuah beg pakaian. Pemeriksaan ke atas beg terbabit, polis menemui ganja seberat 27.4 kg.

"Susulan siasatan ke atas suspek, polis memberkas dua lagi rakannya di dua buah rumah iaitu masing-masing di Taman Koperasi Maju Jaya, Cheras dan Seri Kembangan," katanya.

Beliau berkata hasil pemeriksaan di kedua-dua rumah, polis menemui dadah jenis ganja dengan berat keseluruhan 34.81 kg.

"Polis percaya dadah ini diseludup masuk dari Bukit Kayu Hitam, Kedah untuk pasaran sekitar Lembah Klang," katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain