suria

Pelantikan Musa Sebagai Pengarah Pilihan Raya Batu Sapi Beri Kelebihan

KUALA LUMPUR: Pelantikan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman sebagai pengarah pilihan raya Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Batu Sapi, Sabah merupakan pendekatan baru yang mampu memberi kelebihan kepada parti, kata Naib Ketua Pemuda Umno Datuk Razali Ibrahim.

Berdasarkan pengalaman Ketua Menteri Sabah itu, beliau yakin jentera BN akan ditadbir dan diurus dengan baik bagi membolehkan kerusi Parlimen itu kekal milik BN.

"Itu satu perkembangan yang baik... saya percaya BN telah mengambil kira pelbagai faktor dalam berdepan pilihan raya kecil ini. Melantik orang tempatan (Musa) sebagai pengarah pilihan raya kecil itu satu kelebihan kepada BN dan ia merupakan pendekatan baru yang kita lakukan di bawah tranformasi parti," katanya kepada Bernama di sini, Isnin.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan pelantikan Musa sebagai pengarah pilihan raya BN bagi pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi. Musa akan dibantu Presiden Parti Bersatu Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Edmund Chong Ket Wah daripada BN dalam nahas jalan raya pada 9 Oktober lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Oktober sebagai hari penamaan calon dan jika ada pertandingan, pengundian diadakan pada 4 November.

Ketua Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin ketika mengulas perkara sama berkata pergerakan itu akan memberikan sokongan padu kepada Musa dalam menerajui jentera pilihan raya BN.

"Kita mengalu-alukan pelantikan Datuk Seri Musa Aman sebagai pengarah pilihan raya BN di Batu Sapi dan dengan kerjasama daripada Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, saya percaya ia akan memudahkan gerak kerja jentera BN sekaligus mampu memberi kemenangan kepada BN," katanya.

Rosnah, yang juga Timbalan Menteri Kesihatan, yakin BN mempunyai peluang cerah untuk mempertahankan kerusi itu.

Pengerusi Tetap Umno Datuk Paduka Badruldin Amiruldin berkata pelantikan Musa sebagai pengarah pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi tepat dan akan memudahkan beliau memahami dan menyelesaikan masalah rakyat setempat.

Artikel Lain