suria

Tak Perlu Pertikai Ekuiti Bumiputera - Khairy

KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata dasar ekuiti bumiputera sebanyak 30 peratus dalam sektor ekonomi tidak perlu dibangkit atau dipertikaikan oleh mana-mana parti komponen Barisan Nasional (BN) demi menjaga perpaduan dan keharmonian parti.

Berasaskan faktor itu juga katanya, parti komponen BN tidak harus mempertikaikan beberapa isu lain termasuk kewujudan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SKJC).

"Sama juga seperti perkara 153 Perlembagaan negara, (perkara) yang tak masuk Perlembagaan seperti ekuiti 30 peratus, kita perlu ada hormat terhadap aspirasi masing masing.

"Saya tak akan pertikai SJKC tapi pada masa sama mereka (parti komponen) perlu letak kaki dia dalam kasut kita. Sekiranya kita mengamalkan pendekatan itu semua dan menjaga aspirasi masing-masing saya rasa tak ada masalah," katanya kepada pemberita, Sabtu.

Khairy yang juga Ketua Pemuda BN mengulas kenyataan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek pada perhimpunan agung parti itu Ahad lepas yang sekali lagi menyentuh isu ekuiti bumiputera.

Sementara itu mengulas isu berlainan, Khairy berkata kecelaruan yang berlaku pada pemilihan peringkat cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini berpunca daripada wujudnya 'arahan' individu tertentu dalam parti pembangkang tersebut.

"Perkara ini serius sebab saya jumpa anggota parti PKR (yang memberitahu)... itu bukan spekulasi tapi memang betul. Ini bukan demokrasi terpimpin tapi pimpinan kuku besi yang hanya tunjuk siapa dia nak siapa dia tak hendak," katanya.

Beliau turut menempelak Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail yang menyalahkan 'orang luar' sebagai punca kekecohan pemilihan cabang PKR.

"Walaupun tak sebut Umno dan BN kiasan itu jelas dan bila dicabar tunjuk bukti beliau (Saifuddin) gagal. Tapi apa yang penting sekali rakyat perlu menilai apabila dalam parti itu sendiri tidak dapat dijaga peraturan asas, sampai baling kerusi, ugut-mengugut dan ada juga isu pengundi hantu," katanya.

Khairy sebelum itu melancarkan Program Jelajah One Malaysia (JOM) Peringkat Selangor di sini. Mengenai program JOM, beliau berkata untuk fasa pertama sebanyak 500 buah rumah akan dibaik pulih dalam tempoh tiga hingga enam bulan di seluruh negara.

"Kita melaksanakan program tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik. Fasa pertama ini akan diikuti fasa kedua kelak," katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain