suria

PDRM Tekad Banteras Jenayah, MCPF Minta Banyakkan Program Dekati Masyarakat

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghargai kesungguhan kerajaan untuk membanteras jenayah dengan memperuntukkan satu bajet yang besar bagi program-program pencegahan jenayah. Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata PDRM akan terus meningkatkan tahap kesediaan pegawai dan anggotanya bagi mencapai objektif berkenaan.

"PDRM akan terus berusaha menurunkan kadar jenayah di seluruh negara agar negara bertambah selamat dan selesa serta memantapkan kualiti perkhidmatan yang lebih cekap kepada orang ramai," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas pembentangan Bajet 2011 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat bahawa kerajaan memperuntukkan RM350 juta untuk melaksanakan pelbagai program membanteras jenayah dalam usaha mewujudkan persekitaran selamat di negara ini.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye ketika dihubungi Bernama menyambut baik peruntukan kerajaan sejajar dengan usaha mengekang perlakuan jenayah di negara ini.

"Kami (MCPF) merasakan (peruntukan) itu perlu demi memperkukuhkan tahap keselamatan di negara ini. Seperti yang kita sedia maklum, sesuatu penguatkuasaan itu perlu disertakan sekali dengan pelbagai kemudahan, peralatan dan kelengkapan untuk memerangi jenayah," katanya.

Lee berkata PDRM harus mengambil kesempatan ini dengan bekerja lebih keras demi mempertingkatkan keyakinan masyarakat serta memperbetulkan persepsi mereka terhadap pasukan itu.

"Pada saya cabaran utama PDRM kini adalah untuk meyakinkan masyarakat tentang komitednya pasukan itu walaupun telah sedia maklum indeks jenayah keseluruhan menurun 16 peratus.

"Demi meningkatkan kepercayaan ini, saya berpendapat polis dan badan bukan kerajaan seperti kami perlu bergabung dengan mengadakan lebih banyak program seperti apa yang dipanggil "Public Police Engagement" iaitu program yang memberi ruang kepada masyarakat dan polis berdialog tentang isu-isu keselamatan," katanya. Lee berkata dengan memperbanyakkan program-program sebegitu, ia dapat meningkatkan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap usaha tinggi pasukan itu membanteras jenayah.

"Kami di MCPF sentiasa bersedia membantu polis memerangi jenayah dengan mengadakan ceramah di sekolah-sekolah, berdialog dengan persatuan penduduk... Kami juga menjemput pihak polis untuk sama-sama dalam setiap program," katanya.

Katanya peruntukan itu kelak boleh digunakan untuk menjalankan program bandar selamat dan program Skim Rondaan Sukarela terutamanya di kawasan berisiko tinggi.

Ketika mengulas mengenai hasrat kerajaan untuk menambah 25 mahkamah khas bagi mempercepatkan perbicaraan, Lee berkata: "Ini juga suatu keputusan amat baik kerana sesuatu kes itu perlu diadili dengan segera terutama yang membabitkan kes jenayah."

Sementara itu, Axis Communications Malaysia dalam satu kenyataan menyifatkan peruntukan bagi membanteras jenayah itu suatu inisiatif yang akan mententeramkan fikiran rakyat.

"Penubuhan 25 mahkamah khas bagi menyegerakan perbicaraan kes jenayah akan menjadikan proses pendakwaan lebih cekap, ditambah dengan bantuan kemajuan teknologi pengawasan seperti rangkaian kamera HDTV bagi merakam imej lebih jelas dan berkualiti bagi tujuan pemantauan," menurut kenyataan itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain