suria

Kebanyakan Ibu Bapa Abai Aspek Perhatian Dalam Membesarkan Anak, Kata Rosmah

KUALA LUMPUR: Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor berkata ramai ibu bapa mengabaikan aspek paling asas, iaitu memberi perhatian kepada anak-anak, kerana sibuk bekerja bagi memastikan kehidupan keluarga yang lebih terjamin dan stabil.

Beliau berkata kekurangan perhatian daripada ibu bapa khususnya mereka yang berkerjaya, akan membawa pelbagai kesan negatif kepada kehidupan anak-anak apabila mereka dewasa.

"Saya percaya kurang kefahaman tentang psikologi anak-anak dan kurang komunikasi adalah antara penyebab kepincangan dalam membesarkan anak-anak.

"Barangkali ini jugalah yang membawa kepada 'sindrom buang bayi' dan seks rambang pada kalangan remaja yang belum mencapai usia yang dibenarkan undang-undang untuk berkahwin," katanya ketika merasmikan Kongres Ke-32 Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA), di sini, Jumaat.

Rosmah juga menggesa masyarakat agar mencari strategi yang lebih efektif dan penyelesaian yang boleh dijayakan untuk meningkatkan kehidupan kanak-kanak.

Katanya sudah tiba masa bagi Malaysia menimbang penubuhan jawatankuasa penasihat yang dianggotai pihak berkaitan, agar semua strategi dan tindakan dapat digembleng sebagai sebahagian usaha meningkatkan kualiti dan kesejahteraan kanak-kanak.

Rosmah berkata MPA yang mempunyai pengalaman luas dan kepakaran dalam psikologi kanak-kanak boleh membantu dan bekerjasama dengan kerajaan menerusi agensi berkaitan untuk mencapai matlamat membawa perubahan dalam kehidupan kanak-kanak.

"Sebagai penaung Permata Negara, saya mengalu-alukan pandangan profesional dan bantuan MPA untuk menambah baik usaha kami dalam mengeluarkan modal insan berkualiti, yang merupakan aset penting kepada negara kita.

"Saya percaya menerusi kerjasama dengan pihak yang berfikiran serupa bukan saja memberi manfaat tetapi juga boleh saling bantu-membantu dalam mencapai matlamat yang dikongsi demi kesejahteraan kanak-kanak," katanya.

Beliau juga menyeru semua pihak memastikan kejayaan usaha agar ianya menjadi penanda aras yang dapat diikuti pihak lain. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain