suria

Jadikan Perlembagaan Negara Mata Pelajaran Wajib Sekolah: Sanusi

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta mempertimbangkan cadangan menjadikan perlembagaan negara sebagai satu mata pelajaran wajib di sekolah bagi memastikan generasi muda memahami falsafah pengubalannya.

Bekas Menteri Besar Kedah Tan Sri Sanusi Junid berkata langkah itu dirasakan amat sesuai dilaksanakan sekarang bagi memastikan generasi muda tidak mudah dikelirukan oleh kumpulan yang sengaja cuba mengeksploitasikan keadaan untuk kepentingan diri dan politik.

Pelaksanaan cadangan itu dapat membantu generasi muda membina benteng diri sekali gus berupaya mengekang daripada terus terjebak ke dalam perangkap anasir-anasir jahat yang sengaja cuba menimbulkan kekalutan dan salah faham, katanya kepada Bernama di sini, Khamis.

Terdahulu, beliau menjadi panel dalam program "Manifestasi Sebuah Negara Bangsa: Krisis Persepsi-Perlembagaan Persekutuan Antara Pentafsiran dan Pemahaman" di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak, Angkasapuri di sini.

Antara yang turut menjadi panel dalam program itu ialah pakar sejarah Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim.

Sanusi berkata kebanyakan masalah sekarang yang sengaja ditimbulkan, tidak akan menjadi isu besar jika semua pihak memahami Perkara 153 perlembagaan negara yang mengiktiraf kedudukan dan hak istimewa orang dan sebagainya.

Menurut bekas pemimpin veteran Umno itu sebaliknya atas kepentingan peribadi banyak pemimpin parti-parti politik mudah mengeksploitasikan minda masyarakat berikutan kurangnya pemahaman rakyat mengenai perlembagaan negara.

"Ramai cakap tahu apa itu perlembagaan tetapi sebenarnya tidak... mereka ingat pindaan boleh diusik tetapi sebenarnya tidak, kecuali jika kerajaan yang menguasai dua pertiga parlimen mahu mengubahkannya.

"Jadi saya rasa orang yang mempertikaikan kandungan perlembagaan ini ada dua kemungkinan, pertama dia tidak tahu mengenai perlembagaan dan kedua dia tahu tetapi sengaja menimbulkannya untuk cari populariti," katanya.

Sementara itu, Khoo ketika bercakap pada program itu berkata pelajaran sejarah amat penting dan perlu difahami kerana ia dapat membentuk pemikiran dan minda generasi muda. "Sejarah Malaysia kompleks... nak kaji kemunculannya pun kompleks. Sebagai contoh macam mana wujudnya Kuala Lumpur, dan ia perlu diperjelaskan kepada orang ramai terutamanya generasi muda kerana banyak istilah yang mereka tak faham.

"Sebagai contoh rukun negara, di sekolah pelajar-pelajar ini melaungkan Rukun Negara, tetapi bila tanya apa yang mereka jeritkan, mereka tidak tahu dan disebabkan itu sejarah perlu dititikberatkan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain