suria

Letupan Bom Limau Bali: Juruelektrik Didakwa Membunuh

KUALA LUMPUR: Seorang juruelektrik didakwa di Mahkamah Majistret di sini Khamis, atas tuduhan membunuh dua wanita yang mati selepas didakwa mengalihkan dua biji limau bali yang dijadikan suis kepada bom buatan sendiri.

Pertuduhan terhadap Mohd Khayry Ismail, 45, berlangsung di hadapan Majistret Abdullah Siddiq Mohd Nasir dan dia hanya menganggukkan kepala sebagai tanda faham akan pertuduhan tersebut.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang diwakili peguam Datuk Hanif Hashim.

Tertuduh didakwa membunuh Ng Siew Hong, 51, seorang pemilik bersama sebuah kafe siber dan pekerjanya, Goh Yong Seng, 35, pada antara pukul 8 dan 8.30 pagi, 29 Ogos lalu di hadapan rumah nombor 2-12-4, Apartmen Desa Tun Razak, dekat sini.

Pendakwaan terhadapnya dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Abdullah Siddiq menetapkan 10 November ini sebagai sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melapokan bahawa dua wanita tersebut maut semasa menerima rawatan selepas cedera parah akibat letupan bom buatan sendiri yang diletakkan di depan rumah tersebut.

Kejadian berlaku selepas mangsa cuba mengalihkan dua biji limau bali yang dijadikan suis kepada bom berkenaan.

Ng yang membuka pintu yang diketuk melihat terdapat sebuah kotak dan dua lima bali ditinggalkan di depan pintu.

Jiran mereka menafikan ada menghantar barangan tersebut semasa ditanya oleh seorang lagi pemilik bersama kafe siber itu, H.K Lim.

Justeru itu, Lim mengarahkan Ng untuk memanggil Goh yang berada di tingkat bawah untuk naik dan membuka kotak tersebut untuk mengetahui isi kandungannya.

Bom tersebut dipercayai dibuat daripada beberapa mercun bola yang direndam bersama minyak tanah dan letupan telah menyebabkan kerosakan pada lima buah rumah berhampiran tempat kejadian.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain