suria

Eksekutif Akaun Kerugian RM15,700 Ditipu Sindiket

PETALING JAYA: Seorang eksekutif akaun wanita mendakwa kerugian RM15,700 akibat ditipu satu sindiket yang menyamar sebagai pegawai Bank Negara baru-baru ini.

Pada mulanya, mangsa Lim Jit Ngoh, 47, telah dihubungi seorang lelaki yang mendakwa bekerja di Bank Negara dan ingin mendapatkan pengesahan sama ada mangsa mahu meningkatkan had kreditya kerana kad itu telah melebihi had penggunaan.

"Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3.30 petang 16 Sept lepas itu, lelaki itu dengan tiba-tiba bertanyakan sama ada saya mahukan kredit limit dinaikkan walhal saya tidak mempunyai kad kredit."

"Lelaki itu seolah-olah terkejut dengan penafian saya itu dan kemudian mengarahkan saya supaya menghubungi rakan sekerjanya bagi semakan akaun kad kredit," katanya kepada pemberita di Biro Pengaduan Awam Petaling Jaya Selatan, di sini hari ini.

Katanya, kemudian rakan sekerja lelaki itu pula bertanyakan mengenai nombor pin kad bank bagi tujuan keselamatan dan mangsa mula curiga memandangkan masalah yang dihadapi adalah mengenai kad kredit dan bukan nombor pin kad banknya.

"Wanita itu (rakan sekerja suspek pertama) memberi jaminan bahawa bagi tujuan keselamatan, saya perlu menukar nombor pin kad bank saya mengikut nombor yang diberikan dan saya menurutinya."

"Tiga hari kemudian, ketika sedang menyemak akaun sebuah bank (CIMB), saya terkejut apabila akaun itu tidak mempunyai wang, sepatutnya ada RM8,000. Begitu juga dengan bank kedua (Public), hilang RM5,000 dan bank ketiga (Maybank), hilang RM2,700," katanya.

Lim berkata, beliau kemudian cuba menghubungi nombor milik suspek namun gagal lalu terus membuat laporan polis pada 24 September lepas di Balai Polis Subang Jaya bagi memaklumkan kejadian itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

24 Rumah rosak Dilanda Ribut

Artikel Lain