suria

Pergolakan Dalam PKR Buka Mata Rakyat

KUALA TERENGGANU: Pergolakan yang berlaku dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) terutama berhubung pemilihan dalam parti itu membuka mata rakyat mengenai perjuangan sebenar parti itu.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu berkata, rakyat dapat melihat apa yang berlaku dalam PKR dan akhirnya menilai sendiri parti mana lebih baik untuk mereka.

"Sebab itu Umno perlu terus bekerja keras untuk rakyat dan memastikan parti keramat ini terus memenangi hati mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Perjumpaan Anggota Jawatankuasa Umno Bahagian Marang dan Bahagian Kuala Nerus Empat Peringkat di sini, Ahad.

Sementara itu, Hishammuddin berkata beliau akan memastikan Umno Terengganu mengambil iktibar kekalahan pada Pilihan Raya Umum 1999 sehingga negeri itu jatuh ke tangan PAS dan mengelak ia daripada berulang.

Katanya, beliau akan turut mengadakan pertemuan dengan semua lapan bahagian di negeri itu untuk berbincang mengenai peranan dan cara membawa Umno Terengganu dalam konteks hubungan kaum, agenda Melayu dan kedudukan survival parti.

"Sudah sampai masa untuk kepimpinan turun ke bawah secara bersama untuk menemui rakyat dan bekerja untuk rakyat," ujarnya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain