suria

Akses Dokumen: Mahkamah Persekutuan Beri Keputusan 8 Oktober Ini

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan akan membuat keputusan rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapatkan kenyataan saksi termasuk saksi utama Mohd Saifful Bukhari Azlan pada 8 Oktober ini.

Peguam S.N.Nair, yang mewakili ketua pembangkang itu, berkata beliau dimaklumkan mengenai tarikh keputusan itu oleh timbalan pendaftar Mahkamah Persektuan, Jumirah Marjuki, hari ini.

Pada 19 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan, menangguhkan keputusannya selepas mendengar hujahan dari peguam Anwar, Karpal Singh dan Peguam Cara Negara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden.

Anwar mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 25 Jun lalu dan Mahkamah Tinggi pada 12 Mei lalu menolak permohonan beliau utnuk memberikannya dokumen-dokumen tersebut.

Anwar mahukan semua kenyataan kerana beliau mendakwa bahawa terdapat percanggahan dalam keterangan Mohd Saiful Bukhari yang diperoleh semasa perbicaraan, dan pertuduhan liwat untuk menganiaya beliau (Anwar), yang boleh membawa kepada kemungkinan kredibiliti Mohd Saiful Bukhari dicabar.

Anggota Parlimen Permatang Pauh berusia 63 tahun itu mendakwa bahawa saksi utama itu, Mohd Saiful Bukhari telah memberikan keterangan bahawa dakwaan liwat itu berlaku tanpa persetujuannya, tetapi Anwar dituduh mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, persetubuhan dengan persetujuan.

Anwar sedang dalam perbicaraan terhadap dakwaan meliwat Mohd Saiful Bukhari, bekas pembantunya itu, di Unit 11-5-1, Kondomonium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur, antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain