suria

Pendawai Dipenjara 9 Tahun, 10 Sebatan Miliki 17 Gram Dadah

SHAH ALAM: Seorang pendawai dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana memiliki dadah seberat 17 gram di Jalan Semenyih, Kajang, dua tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Siti Khadijah Sheikh Hassan Badjenid menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, P. Sandra Singam, 45, mengaku bersalah terhadap tuduhan tersebut.

Tertuduh didakwa memiliki dadah jenis heroin seberat 8.37 gram dan monoacetylmorphines seberat 8.63 gram di No: G13, tingkat bawah, Taman Damai Indah, Jalan Semenyih, Kajang, kira-kira pukul 2.30 pagi pada 11 Ogos 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39 A (2) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum seumur hidup dan sekurang-kurangnya 10 kali sebatan.

Peguam T. Santhakumari yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan anak guamnya telah menyesal atas perbuatannya dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu.

Timbalan Pendakwa Raya Zainal Azwar Kamaruddin yang mengendalikan pendakwaan pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat dengan mengambil kira faktor kepentingan awam selain memberi pengajaran kepada tertuduh dan memberi amaran kepada orang lain agar tidak melakukan kesalahan yang sama.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 11 Ogos 2008. - BERNAMA

Artikel Lain