suria

Ketua MIC Gerik Dirompak Di Kliniknya

GERIK: Ketua MIC bahagian Gerik dirompak oleh sekumpulan lima individu di kliniknya di Jalan Tun Saban di sini tengah malam tadi yang berpura-pura mahu mendapatkan rawatan untuk wanita yang hendak bersalin.

Dr N. Venkataslu, 69, dirompak barang kemas dan sejumlah wang.

Ketika itu beliau sedang tidur di tingkat atas klinik berkenaan apabila dikejutkan dengan satu panggilan telefon daripada seorang wanita yang meminta beliau merawat seorang rakannya yang sedang sakit hendak bersalin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gerik, Deputi Supritendan (DSP) Wan Jamil Wan Chik berkata mangsa tinggal seorang diri di kliniknya kerana isteri dan keluarganya menetap di Kulim, Kedah.

"Wanita berkenaan meminta mangsa supaya turun dari tingkat atas klinik itu kerana rakannya sedang menunggu di depan klinik untuk mendapatkan rawatan hendak bersalin.

"Selepas turun, mangsa naik semula ke tempat penginapannya untuk mengambil kunci pintu klinik dengan tidak menutup pintu bilik penginapannya. Pada masa yang sama wanita berkenaan masuk dan berpura-pura mahu ke tandas untuk membuang air," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata tanpa disedari mangsa, seorang lagi wanita dan tiga lelaki tiba-tiba menyerbu masuk ke tempat penginapannya dan terus mengikat tangan dan kakinya manakala mulutnya ditutup dengan kain.

Wan Jamil berkata kelima-lima perompak berkenaan kemudian menggeledah di seluruh tempat penginapan itu serta mengambil seutas rantai, tiga bentuk cincin emas, wang simpanan berjumlah RM50,000 serta wang harian hasil bayaran perkhidmatan klinik berkenaan.

Kelima-lima perompak kemudian melarikan diri dipercayai dengan menggunakan sebuah kereta dan kesemua kerugian berjumlah RM150,000, katanya.

"Dengan diikat tangan dan kaki selain mulut ditutup dengan kain menyebabkan mangsa sukar meminta pertolongan sehingga kira-kira 45 minit kemudian sebelum dibantu seorang jiran yang terdengar jeritannya," katanya.

Beliau berkata mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah Gerik pada 2.15 pagi tadi.

Polis sedang membuat gerakan memburu suspek termasuk di plaza tol Lebuh Raya Utara Selatan di semua kawasan berhampiran, katanya.

"Kes ini merupakan rompakan terbesar kerana membabitkan sejumlah wang yang besar di daerah ini setakat ini. Ia disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan," katanya.

Orang ramai dinasihatkan lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya terutama pada waktu tengah malam, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain