suria

Tukang Masak Bebas Tuduhan Merogol

KLANG: Mahkamah Sesyen di sini Jumaat, melepas dan membebaskan seorang tukang masak daripada pertuduhan merogol seorang pelajar sekolah di bawah umur yang didakwa berlaku empat tahun lalu.

Hakim Slamat Yahya membuat keputusan itu terhadap Jasman Zulkifli, 24, selepas berpendapat adalah tidak wajar untuk memanggil lelaki itu membela diri atas tuduhan yang dihadapi.

Ini kerana, Slamat berpendapat keterangan-keterangan yang diberikan oleh saksi pendakwaan adalah tidak konsisten.

"Saya lihat sepanjang perbicaraan, terdapat banyak percanggahan pada keterangan saksi dengan mangsa," katanya.

Selain itu, beliau juga berpendapat bahawa laporan perubatan bahawa kesan itu adalah kesan lama tidak dapat mengaitkan Jasman dalam kes tersebut.

Justeru itu, Slamat yang mendengar keterangan tujuh saksi pendakwaan berpendapat pihak pendakwaan gagal menimbulkan prima facie terhadap pertuduhan.

Jasman sebelum ini didakwa merogol mangsa yang berusia 16 tahun pada pukul 2.30 petang, Mac 2006, di sebuah rumah di Taman Tun Desa, Jenjarum Hilir, Dengkil, dekat sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, Jasman diwakili peguam V. Ravichandran manakala Timbalan Pendakwa Raya Siti Syuhada Alwi mewakili pihak pendakwaan.

Artikel Berikut

Artikel Lain