suria

Lelaki Ditahan, Polis Percaya Dapat Selesaikan 15 Kes Samun Di Sibu

SIBU: Polis percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya 15 kes samun di Sibu berikutan penahanan seorang bekas anggota Geng Kapak di sebuah rumah di sini.

Lelaki berusia 30 tahun itu merupakan penagih dadah dan mempunyai rekod jenayah serta pernah ditahan mengikut Ordinan Darurat selama dua tahun.

Dia hanya pulang ke sini awal tahun ini, kata Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner (ACP) Shafiee Ismail pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata turut ditahan dalam serbuan polis ke rumah lelaki itu pada 14 September lepas ialah seorang lagi suspek yang berada bersamanya.

Kedua-dua lelaki itu kini ditahan reman.

"Polis menemui 31 barangan yang dipercayai dicuri seperti komputer riba, mesin pemprosesan data (CPU) komputer, kamera digital, pemain DVD, jam, televisyen dan pam air," katanya.

Sementara itu dalam kes lain, seorang lelaki ditahan ketika cuba melakukan samun di sebuah rumah di Jalan Ling Wen Shun di sini awal hari ini, manakala dua lagi rakannya melarikan diri.

Lelaki itu ditahan ketika dia dan dua lagi lelaki lain berada dalam sebuah rumah yang tidak berpenghuni pada pukul 3.20 pagi. Kesemua mereka berusia antara 17 dan 32 tahun, kata Shafie. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain