suria

Kerajaan Amerika Syarikat Kutuk Rancangan Bakar Al-Quran

KUALA LUMPUR: Kerajaan Amerika Syarikat membidas rancangan oleh sebuah gereja kecil di Gainesville, Florida, membakar Al-Quran sempena ulang tahun serangan pengganas 11 September di Pusat Dagangan Dunia (WTC), New York, pada 2001.

Menurut kenyataan Kedutaan Amerika Syarikat di sini, kerajaan negara itu memandang tindakan sengaja memusnahkan sebarang buku suci adalah menjijikkan dan menimbulkan perbalahan, sesuatu yang ditolak oleh majoriti rakyat Amerika.

"Kami mempunyai penghormatan tidak berbelah bagi untuk Al-Quran dan Islam sebagai salah sebuah agama teragung di dunia," katanya.

Kenyataan itu menyebut pada 9 September lalu, Presiden Barrack Obama telah menyatakan cadangan kumpulan itu adalah bertentangan dengan nilai-nilai rakyat Amerika.

Selain itu, pertubuhan Islam Utara Amerika turut mengadakan sidang kemuncak antara agama pada 7 September lalu bagi menyatupadukan masyarakat pelbagai agama bagi menggalakkan toleransi dan menentang retorik anti-Islam. Wakil-wakil pada sidang itu termasuk pemimpin Kristian, Yahudi dan Islam.

Dalam perkembangan terbaru , Paderi Terry Jones dari Dove Outreach Center di Gainesville, Florida -- yang mencetuskan kemarahan antarabangsa itu-- telah memutuskan untuk menggantungkan rancangannya itu.

Di JOHOR BAHARU, Diokese Gereja Katolik Melaka-Johor, Jumaat, mengutuk rancangan gereja di Gainesville itu.

Dalam kenyataannya, Biskop Paderi Tan Chee Ing menyifatkan tindakan itu sebagai tidak bermoral.

"Kami tidak mempunyai hak mencaci kepercayaan agama lain. Saling menghormati dan penerimaan merupakan langkah ke arah mencapai keharmonian," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain