suria

Mahkamah Coimbatore Lanjutkan Tempoh Reman Soosai

CHENNAI: Michael Soosai, rakyat Malaysia yang dijadual dihadapkan ke mahkamah bagi beberapa pertuduhan menipu dan membunuh, sebaliknya telah direman untuk tempoh dua minggu lagi.

Langkah itu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan terhadap kegiatan jenayahnya, kata polis, Sabtu.

"Kami bawa dia ke mahkamah pagi ini untuk melanjutkan tempoh tahanan reman kepada 15 hari lagi untuk membantu siasatan kami.

"Kemudiannya dalam minggu ini, Soosai akan diserahkan kepada polis Cheyyur untuk mendakwanya bagi kes bunuh yang dilakukan pada 2004," kata M.Selvarajan, Penolong Pesuruhjaya Polis Coimbatore.

Soosai, dikehendaki bagi sekurang-kurangnya 20 kes tipu dan juga kes bunuh N. Subramaniam, pemandu lori warga Malaysia, di Cheyyur di daerah Kanchipuram, dikemukakan di Mahkamah Majistret Coimbatore untuk perintah reman itu.

Polis Coimbatore telah memburunya selama kira-kira tiga bulan, selepas beberapa laporan polis dibuat terhadap warga Malaysia yang sedang melarikan diri ke negara ini, atas dakwaan menipu wang dan barangan kemas mangsanya.

Soosai akhirnya ditahan polis di Chennai semasa sedang berada di bilik sebuah hotel dengan isterinya Rajeswari pada Khamis lepas.

Sementara itu, Inspektor P. Mani dari Balai Polis Cheyyur memberitahu, satu pasukan polis akan pergi ke Coimbatore untuk membawa Soosai ke Cheyyur bagi siasatan kes bunuh pemandu lori warga Malaysia.

"Kami akan kemukakannya di Mahkamah Majistret Madurantakam pada Isnin untuk mendapatkan kebenaran menahannya bagi kes bunuh dan kemudiannya akan menyerahkannya semula kepada polis Coimbatore," katanya.

Soosai, yang merancang kematiannya sendiri untuk menuntut wang insurans di Malaysia, kemudiannya melarikan diri ke selatan India, di mana telah meneruskan kegiatan jenayah selama hampir sedekad sebelum ditahan.

Namanya tersenarai sebagai orang dikehendaki polis Malaysia dan Interpol.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain