suria

Peniaga Pulau Pinang Patuhi Peraturan Harga Siling

BUTTERWORTH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mendapati tiada peniaga di Pulau Pinang yang menjual barangan melebihi harga siling yang ditetapkan dalam Skim Kawal Harga Musim Perayaan (SKHMP) yang berkuatkuasa Jumaat

Ketua Pegawai Penguatkuasa negeri, Guna Selan Marian berkata pemantauan di pasar, kedai runcit dan pasar raya di sini mendapati peniaga mematuhi peraturan.

"Kita mengalu-alukan kerjasama daripada peniaga dan berharap ia akan berterusan," katanya kepada pemberita selepas melawat pasar awam Seberang Jaya di sini hari ini. Sebanyak 18 barangan disenaraikan di bawah SKHMP.

Beliau berkata untuk SKHMP kali ini, peniaga tidak perlu memohon lesen untuk menjual barang terkawal, sebaliknya peniaga perlu memaparkan harga barang dengan tag tanda berwarna merah jambu.

Guna Selan berkata beliau telah mendapat aduan daripada dua peniaga bahawa kedai mereka telah didatangi orang yang menyamar sebagai pegawai penguatkuasa dan telah memeriksa barang mereka dan meminta wang sambil mengugut untuk mengambil tindakan undang-undang.

"Saya telah menasihati semua peniaga supaya meminta kad penguatkuasa atau tag pemantauan sebelum membenarkan barang mereka diperiksa. Mereka juga perlu buat laporan polis," katanya.

Sementara itu di Banting, Selangor, harga barang kawalan masih dijual di bawah harga siling yang ditetapkan.

Pengarah KPDNKK Selangor, Zainun Saleh, berkata tinjauan di Pasar Awam Banting mendapati peniaga menggunakan label harga berwarna merah jambu untuk barang kawalan bagi kemudahan pengguna. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain