suria

Lebih 800 Anggota Polis Terlibat Dalam Ops Sikap Di Selangor

SHAH ALAM: Lebih 800 anggota polis terbabit dalam Ops Sikap ke-22 yang bermula hari ini sehingga 17 September ini bagi memantau dan mengawal aliran trafik di 52 kawasan panas di Selangor.

Ketua Polis negeri Datuk Khalid Abu Bakar berkata kesemua anggota termasuk yang bukan dari cawangan trafik itu akan bertugas sepanjang musim perayaan ini bagi memastikan kelancaran perjalanan balik kampung sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

"Jalan Kuala Selangor merupakan kawasan utama dalam senarai 'hotspots' di Selangor kerana sentiasa mencatatkan jumlah kemalangan yang tinggi termasuk mengakibatkan kehilangan nyawa," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Ops Sikap ke-22 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, Jumaat.

Beliau turut meminta pengguna jalan raya meningkatkan kesedaran kerana majoriti kes menunjukkan punca utama kemalangan adalah disebabkan sikap manusia itu sendiri yang tidak sabar, tergopoh-gapah dan tidak mematuhi had laju ketika memandu.

Pada masa yang sama, Khalid mengingatkan orang ramai agar berhati-hati menjelang musim perayaan ini bagi mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa jenayah khususnya samun dan ragut yang lazim berlaku di kawasan seperti bank dan pasar raya.

"Jangan leka ketika di bank misalnya, kerana penjenayah tahu kita sedang berurusan dengan wang ringgit dan mereka akan ambil kesempatan," katanya.

Khalid turut menasihatkan orang ramai supaya memastikan rumah mereka selamat ketika balik kampung termasuk mengisi borang di balai polis berhampiran memaklumkan tempoh rumah ditinggalkan supaya rondaan boleh dilakukan.

Beliau berkata memasang alat kawalan masa untuk menghidupkan lampu di kawasan depan dan belakang rumah juga sepatutnya dibuat supaya kawasan rumah lebih terang dan tidak mengundang penjenayah. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain