suria

LDP Nafi Akan Keluar BN

KOTA KINABALU: Parti Liberal Demokratik (LDP) hari ini menafikan dakwaan akan keluar daripada Barisan Nasional (BN) berikutan kenyataan timbalan presidennya mengenai kepimpinan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman bulan lepas.

Presidennya Datuk Liew Vui Keong berkata parti itu akan kekal sebagai komponen BN dan yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kami cuma berasakan sokongan terhadap BN semakin kurang di Sabah dan kami cuba memberitahu kerajaan, khususnya BN, agar berbuat sesuatu mengenainya.

"Apa yang kami mahu lakukan sekarang ialah cuba memenangi semula keyakinan rakyat di Sabah," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan biskut raya kepada Kontinjen Polis Sabah, di sini pada Jumaat.

Liew yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata beliau telah menemui Perdana Menteri semalam dan berbincang mengenai beberapa isu melibatkan rakyat Sabah.

Pada 24 Ogos lepas, Timbalan Presiden LDP Datuk Chin Su Phin mengeluarkan kenyataan bahawa parti itu sudah tidak boleh bekerja dengan Musa, tetapi akan terus menyokong dan bekerjasama dengan Umno, selain meluahkan sokongan penuh terhadap Najib dan konsep 1Malaysia beliau.

Ditanya mengenai kawajaran bekas Naib Presiden Datuk Peter Pang En Yin yang mengumumkan keluar daripada LDP pada Rabu lepas, kekal sebagai anggota Kabinet negeri, Liew berkata beliau menyerahkan perkara itu kepada budi bicara Perdana Menteri.

Pang, 51, meninggalkan parti itu selepas tidak bersetuju dengan pendirian LDP bahawa ia sudah tidak boleh bekerja dengan Musa.

Beliau juga menghantar peletakan jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Belia dan Sukan Sabah, tetapi Musa dan kerajaan negeri memutuskan untuk mengekalkan beliau dalam Kabinet negeri buat masa ini. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain