suria

Rakyat Yakin Terhadap Masa Depan Negara Menuju Wawasan 2020

KUALA LUMPUR: Sebilangan besar rakyat negara ini masih lagi yakin bahawa negara mampu merealisasikan Wawasan 2020, demikian menurut satu kajian isu semasa.

Kajian tersebut yang membabitkan 1,367 responden pelbagai kaum di seluruh negara menunjukkan seramai 86 peratus daripada responden yang diwawancara berpandangan apa yang dilakukan kerajaan sekarang adalah baik untuk masa depan negara, manakala 14 peratus menyatakan sebaliknya.

Kajian itu menyatakan bahawa sebilangan besar rakyat menaruh harapan tinggi kepada masa depan Malaysia menuju Wawasan 2020 berdasarkan usaha yang dilaksanakan kerajaan sekarang dalam pelbagai bidang termasuk pembangunan, memelihara keamanan, meningkatkan ekonomi dan memperkenalkan idea 1Malaysia setelah 53 tahun mengecapi kemerdekaan.

Kajian Isu Semasa itu diketuai Azrul Hisyam Wakichan dan diselia oleh Profesor Datuk Seri Syed Arabi Idid, Pensyarah Kanan Jabatan Komunikasi, Kulliyyah Ilmu Berteraskan Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), baru-baru ini.

Kajian dilakukan dari 1 hingga 18 Ogos 2010 di seluruh negara untuk mengetahui pandangan responden berumur 21 tahun yang terdiri dari kaum Melayu/Bumiputera, Cina, India dan lain-lain.

Kajian itu juga menunjukkan ramai rakyat menaruh harapan tinggi terhadap kerajaan mengenai masa depan keluarga masing-masing.

Sebanyak 90 peratus menyatakan masa depan keluarga mereka adalah baik dan 10 peratus lagi menyatakan sebaliknya. Tidak seorang pun responden menyatakan masa depan mereka akan kekal seperti sekarang.

Jumlah responden ditentukan mengikut kepada kelompok, daerah dan ditetapkan mengikut kepadatan penduduk, komposisi kaum, lokasi, kategori umur dan juga jantina.

Selain itu, pada keseluruhannya responden juga berpendapat bahawa konsep 1Malaysia merupakan pencapaian utama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sebanyak 53 peratus daripada mereka bersetuju dengan konsep ini, 22 peratus menyatakan amat bersetuju, 16 peratus tidak bersetuju dan empat peratus amat tidak bersetuju.

Lima peratus lagi tidak memberi sebarang respon. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain