suria

Umat Islam Perlu Tahu Beza Konteks Lawatan Ke Masjid - Hishammuddin

PUTRAJAYA: Umat Islam perlu tahu membezakan konteks lawatan ke masjid atau surau berbanding mempergunakan masjid bagi tujuan politik dalam keadaan tidak beradab, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau yang terkilan dengan perkembangan politik di Selangor baru-baru ini berkata, dalam kejadian itu, mereka yang memberi sumbangan datang daripada latar belakang parti sosialis yang selama ini semua maklum dan sedar tujuannya mahu membeli "jiwa" umat Islam supaya menyokong perjuangan dan pemerintahan mereka.

"Langkah ini tidak akan menjadi begitu menghiris jiwa orang Melayu jika majlis itu diadakan di pekarangan surau atau masjid berkenaan.

"Jika kariah masjid atau surau itu beria-ria sangat hendak terima sumbangan daripada pihak sosialis, kenapa perlu langgar titah Sultan.

"Mereka yang hendak memberi sumbangan tidak perlu pun hadir hingga ke ruang solat untuk berbuat demikian," katanya dalam satu kenyataan di sini, Selasa.

Beliau mengulas laporan yang dipetik dari laman blog Selangordaily bahawa Anggota Parlimen Selayang, William Leong dibenarkan masuk ke ruang solat Masjid At-Taqwa, Selayang Baru untuk memberi bantuan.

Kejadian itu berlaku sehari selepas Anggota Parlimen Serdang dari DAP, Teo Nie Ching "bertazkirah" di ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral tanpa menutup aurat.

Mengulas lanjut, Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno berkata, perkembangan perkara itu amat mengejutkannya kerana ia mendapat sokongan daripada Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sekali lagi tampil membuat kenyataan mengelirukan umat Islam.

"Kini, apabila Nie Ching dalam keadaan berhadas besar masuk ke ruang solat di Surau Al-Huda, Nik Abdul Aziz berkata "kita sekarang berada di zaman moden, jangan jadi jahil", lepas ini apa lagi "bala" nak datang?

"Kenyataan-kenyataan sebegini ternyata hanya membawa kepada keadaan yang mengelirukan sesama kita orang Islam.

"Saya kira dalam perkara yang menyentuh soal pegangan agama, pemimpin parti politik perlu berani menyatakan perkara sebenar dan mengambil tindakan jelas dan nyata serta mengelakkan kenyataan-kenyataan yang boleh terus menerus mengelirukan orang Islam," katanya.

Hishammuddin berkata agenda yang dibawa oleh DAP amat jelas dan mereka tanpa henti terus mengambil pendekatan ekstrem, mempertikai hak yang selama ini dipertahankan oleh pemimpin Melayu dan Raja-Raja Melayu.

"Namun, mengapa ada pemimpin daripada parti yang mengaku memperjuangkan Islam enggan mengakui apa yang dibawa oleh DAP ini sebagai menghakis sedikit demi sedikit kekuatan orang Melayu?" soalnyanya.

Pada masa ini, Hishammuddin dalam rangka lawatan tugas rasmi di Bandar Seri Begawan, Brunei bagi membincangkan soal-soal berkaitan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Lawatan kerja dua hari bermula semalam itu melibatkan pertemuannya dengan Tengku Mahkota Brunei, Duli Yang Teramat Mulia Al-Muhtadee Billah; Menteri Luar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan turut menghadap Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah. BERNAMA

Artikel Lain