suria

Remaja Maut, Rakan Parah Motosikal Bertembung Lori

GUA MUSANG: Seorang remaja maut manakala rakannya parah apabila motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Rancangan Tanah Felda Ciku Satu, dekat sini, Khamis.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Saiful Bahri Abdullah berkata remaja yang maut adalah penunggang motosikal dikenali Che Mohamad Firdaus Che Ismail, 17, manakala rakannya dikenali Mohd Nasharudin Azmi, 14.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu kedua-dua remaja tersebut dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Rancangan Tanah Felda Perasu sebelum terbabas dan bertembung dengan lori yang membawa muatan ais.

"Mangsa yang mengalami cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian. Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Gua Musang sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Krai dan dilaporkan tenat," katanya.

Mayat Che Mohamad Fairdaus dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya lewat malam ini untuk dikebumikan. - BERNAMA

Artikel Lain