suria

KPDNKK Tahan Pembantu Kedai Muat Turun Lagu Tanpa Kebenaran

KULIM: Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menahan seorang pembantu kedai yang menawarkan muat turun lagu-lagu popular secara percuma kepada pembeli kad memori untuk melariskan jualannya. Dalam operasi di sebuah pusat membeli-belah pada kira-kira pukul 2 petang di sini, seorang pengawai penguatkuasa KPDNKK yang menyamar seorang pembeli di kaunter kedai tersebut mengesan kegiatan lelaki itu yang memuat turun lagu-lagu popular dan nada dering tanpa kebenaran.

Ketua Penguatkuasa KPDNKK Kulim Chin Ching Chung berkata pembantu kedai yang berusia 26 tahun itu ditahan ketika sedang memuat turun lagu-lagu berkenaan melalui sebuah komputer.

"Turut dirampas adalah sebuah CPU bersama perisian yang mengandungi hampir 500 buah lagu tempatan dan luar negara, monitor, tetikus dan beberapa peralatan bernilai RM1,000. Operasi itu disertai empat anggota," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Chin berkata perbuatan memuat turun lagu-lagu popular tempatan dan asing merupakan kesalahan mengikut Sekyen 41(1)(c) Akta Hakcipta 1987, yang jika sabit kesalahan pembantu kedai atau pemilik kedai berkenaan boleh didenda RM2,000 untuk sebuah lagu yang dimuat turun selain dipenjara.

Beliau berkata operasi itu susulan aduan yang dibuat seorang wakil Recording Industry Malaysia (RIM) di pejabat Bahagian Penguatkuasaan KPDNKK di sini.

Katanya lelaki tersebut telah dibebaskan dengan jaminan polis setelah keterangannya diambil.

Chin berkata penjual alat-alat telekomunikasi di daerah ini dinasihatkan supaya mendapatkan pakej lesen daripada RIM melalui ejen-ejennya yang sah. - BERNAMA

Artikel Lain