suria

Klinik Desa Dinaik Taraf Di Bawah RMK10

HULU SELANGOR: Kerajaan akan menaik taraf perkhidmatan klinik desa di seluruh negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10).

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata menerusi usaha yang akan dilakukan secara berperingkat itu, seorang pegawai perubatan akan ditempatkan di setiap klinik desa.

Buat masa ini klinik itu hanya dikendalikan dua jururawat masyarakat dan perkhidmatan terhad kepada jagaan sebelum dan selepas bersalin untuk ibu dan bayi serta pemeriksaan dan pemberian vaksin untuk jagaan kesihatan asas.

"Kita berharap dengan kehadiran pegawai perubatan di klinik ini kita dapat menyediakan perkhidmatan yang lebih baik termasuk memprekripsikan ubat bagi sakit ringan," katanya kepada pemberita selepas melawat Klinik Desa Kampung Pasir Kerling, di sini Khamis.

Pada masa sekarang terdapat lebih 2,000 klinik desa di seluruh negara.

Mengulas isu berkaitan, Liow berkata kerajaan juga merancang untuk menaik taraf Klinik 1Malaysia dengan menempatkan doktor di setiap klinik yang pada masa ini dikendalikan pegawai perubatan.

"Akhirnya itulah hasrat kita, iaitu untuk meningkat dan menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain