suria

Belia Perlu Bekerjasama Untuk Pupuk Kesefahaman, Kepelbagaian Budaya

KUALA LUMPUR: Pemimpin-pemimpin muda dan meningkat naik dari serata dunia perlu bekerjasama bagi memupuk kesefahaman dan kepelbagaian kebudayaan, kata Ketua Strategi dan Pembangunan bagi pertubuhan Pakatan Ketamadunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Jean-Christophe Bas.

Beliau berkata komitmen terhadap kewujudan bersama dalam masyarakat moden yang memiliki kepelbagaian budaya, agama dan etnik, memerlukan wujudnya rasa betapa penting pembabitan bukan sahaja di pihak kerajaan, tapi juga di kalangan para belia.

"Adalah penting bagi belia masa kini menyedari komitmen yang boleh dibuat dalam kehidupan seharian, untuk memupuk kesefahaman antara budaya," katanya semasa berucap di majlis pembukaan sesi pleno Persidangan Model Global Bangsa-bangsa Bersatu (GMUN) 2010 di sini.

Beliau berkata adalah menjadi tanggungjawab Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan komuniti antarabangsa untuk mengesahkan bahawa keamanan dan pembangunan bukan sahaja berkisar kepada ekonomi dan petunjuk sosial serta perubahan iklim, tetapi ia juga mengenai kesefahaman antara budaya.

Katanya keamanan dan kemajuan tidak akan wujud tanpa dasar yang kukuh bagi memupuk kesefahaman dan kerjasama antara orang ramai, komuniti, agama, kepercayaan dan identiti.

Bas berkata adalah penting buat para peserta persidangan kali ini memastikan bahawa hasil perbincangan mereka dapat disebarkan ke serata dunia, dan menurutnya mereka juga perlu memasukkan isu-isu berkaitan pendidikan dalam perbincangan mereka.

"Persidangan ini juga perlu menangani isu bagaimana memupuk pembaharuan dalam sistem pendidikan, serta kurikulum pendidikan, dalam satu cara sebagaimana aspek agama dan kepercayaan diajar di sekolah-sekolah, dalam usaha meningkatkan kesefahaman dan rasa hormat antara budaya.

"Anda sememangnya seorang utusan untuk keamanan dan ini adalah tugas-tugas kami yang perlu anda bawa ia ke masa hadapan, dan mulai hari ini anda bertanggungjawab untuk membawa mesej ini dan mengambil tindakan konkrit," katanya.

GMUN 2010, yang dianjurkan Jabatan Maklumat Umum PBB bertujuan menghimpunkan belia dan pelajar universiti terbaik dari seluruh dunia untuk diberi pengetahuan tentang fungsi PBB.

Persidangan kali ini menghimpunkan pelajar universiti berumur antara 18 hingga 24 tahun dari 56 negara anggota PBB termasuk 65 orang dari Malaysia, mengambil bahagian dalam persidangan lima hari. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain