suria

Penggunaan Gambar Sultan Johor Tindakan Keterlaluan - Ghani Othman

SEGAMAT: Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman menyifatkan perbuatan sebuah parti politik yang menggunakan poster gambar Sultan Johor, Sultan Ibrahim di dalam kempen parti itu sebagai perbuatan yang keterlaluan dan melampau.

Beliau berkata perbuatan seumpama itu merupakan sesuatu yang tidak pernah berlaku dan berharap polis dapat menjalankan siasatan segera bagi mengenal pasti pihak yang terlibat.

Adalah tidak wajar untuk membawa pihak istana dalam kempen parti politik, katanya kepada pemberita pada program lawatan kerja ke Parlimen Sekijang di sini, Selasa.

Semalam, Sultan Ibrahim ketika bertitah pada majlis penutup Kembara Mahkota Johor Bermotosikal 2010 di Kota Tinggi, melahirkan rasa murka terhadap tindakan sebuah parti politik yang menggunakan gambar baginda pada kain rentang di majlis ceramah di Batu Pahat, baru-baru ini.

Mengenai dakwaan kononnya kain rentang itu dipasang oleh anggota Umno, Menteri Besar menegaskan dakwaan tersebut tidak berasas kerana perbuatan seperti itu bukan amalan Umno.

"Kita (Umno) tidak pernah mengamalkan politik seperti itu. Apa yang kita tahu parti pakatan pembangkang membuat perjumpaan dalam tempoh berkenaan dan kain rentang yang dimaksudkan itu dinaikkan," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain